Pemain dah sesuaikan diri dengan cara ‘coach’ Zainal, cuma belum dibuktikan dengan ‘result’ – Hafizul Hakim

905

Penjaga gol Penang FC, Hafizul Hakim berharap beliau dan rakan-rakan mampu segera menjelmakan keputusan yang baik selepas mengharungi musim yang buruk dalam Liga Super.

Penang kini berada di tangga tercorot liga dengan tujuh mata, lima mata di belakang PJ City FC yang berada di tangga ke-11.


Menurutnya, walaupun menghadapi banyak kekalahan musim ini, para pemain sudah berusaha sebaik mungkin bagi mengikut cara permainan yang dimahukan ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan.

“Setakat ini pemain dah boleh sesuaikan diri dengan gaya permainan jurulatih cuma kami perlu buktikan dalam bentuk keputusan yang baik.

Bila keputusan tidak baik, nampak seperti kami tidak ikut apa yang jurulatih mahukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Hafizul berkata para pemain sudah melupakan kekalahan kepada Sarawak United FC tempoh hari dan kini fokus terhadap perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.

Beliau berazam untuk memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan oleh Zainal.

“Saya belum pernah lagi beraksi di SSI dan tahu JDT adalah lawan yang sukar tetapi jika diturunkan saya akan cuba bantu pasukan.

Sekurang-kurangnya jika kita kalah, kita tidak kalah dengan jaringan yang besar dan kalau menang, ia adalah satu pencapaian yang baik.”

Perlawanan antara Penang dan JDT bakal berlangsung pada pukul 9.00 malam esok di Stadium Sultan Ibrahim.