Keserasian pasukan lebih baik lepas ‘coach’ Zainal masuk, cuma rezeki tidak menyebelahi kami – Adib Raop

742

Pemain sayap Penang FC, Adib Raop menyifatkan keserasian dalam pasukan lebih baik selepas Datuk Zainal Abidin Hassan mengambil alih sebagai ketua jurulatih, namun rezeki masih belum berpihak kepada mereka.

Beliau mengakui pasukan bermain dengan baik dan berharap para penyokong terus percaya dengan para pemain dan jurulatih.


“Saya lihat, apa yang ketua jurulatih lakukan untuk pasukan dapat membantu kami dan kami juga semakin serasi.

Kami juga bermain dengan baik cuma rezeki tidak menyebelahi kami, jadi diharapkan penyokong terus beri sokongan kepada kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau mahu berusaha untuk mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir Piala FA esok.

Beliau berkata, bermain di Stadium Sultan Ibrahim adalah satu perasaan yang lain disebabkan aura penyokong JDT namun akan fokus 100 peratus pada perlawanan itu.

“Mungkin JDT mempunyai banyak kelebihan, lagipun bermain di gelanggang sendiri tetapi insyaAllah kami akan buat kejutan, di mana ia memerlukan semangat dan fokus oleh seluruh pemain.”

Beliau berkata, para pemain akan bermain mengikut taktikal yang dirangka oleh Zainal dan memberikan yang terbaik pada perlawanan itu.

Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 9.00 malam esok di Stadium Sultan Ibrahim.

Satu lagi perlawanan separuh akhir antara Terengganu FC dan Selangor FC akan berlangsung pada Sabtu.