Saya masih belum terima apa-apa tawaran untuk kendalikan skuad B-23 negara – Nafuzi Zain
Nama ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain sekali lagi menjadi perhatian apabila dikatakan sebagai salah seorang calon yang akan menggantikan kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara selepas Brad Maloney melepaskan jawatan itu.
Nafuzi yang menyedari dengan khabar angin itu bagaimanapun berkata sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang tawaran daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Setakat ini saya masih belum terima apa-apa tawaran dari pihak sana (FAM), tapi sekarang ini saya beri fokus pada pasukan saya saja.
Khabar angin adalah perkara yang biasa dalam dunia bola sepak. Kalau nama saya yang naik ia merupakan satu penghargaan buat saya kerana hasil kerja saya diiktiraf,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau enggan memikirkan mengenai perkara itu buat masa ini kerana fokusnya kini adalah bersama Terengganu kerana mereka bakal menghadapi perlawanan penting iaitu separuh akhir Piala FA hari ini menentang Selangor FC di tempat sendiri.
Bercerita lanjut mengenai perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Nafuzi mengakui pasukannya akan berdepan aksi sukar menentang Gergasi Merah Kuning.
“Tidak dapat dinafikan Selangor adalah pasukan yang baik, tetapi untuk perlawanan esok kita tidak akan mengubah taktikal sebaliknya kita akan bermain seperti mana kita bermain sebelum ini. Kita main cara kita sendiri.
Saya juga tidak melihat bermain di tempat sendiri akan memberi tekanan sebaliknya ia akan menjadi kelebihan buat kami dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong, oleh itu pemain akan beri aksi persembahan terbaik esok (hari ini).”
Dalam pada itu, pengendali berusia 43 tahun itu tidak menolak kemungkinan perlawanan esok akan berlanjutan hingga ke masa tambahan, namun beliau mahu anak buahnya menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit.
Beliau pada masa sama turut menasihati pemainnya untuk tidak berasa tidak terlalu teruja dengan kehadiran ribuan penyokong, sebaliknya main seperti biasa sahaja.
“Esok (hari ini) mungkin stadium akan penuh, jadi saya harap pemain tidak terlalu teruja sangat, sebaliknya main seperti perlawanan-perlawanan lain sebelum ini. Yang penting mereka fokus dari minit pertama hingga ke wisel penamat.”
Pemenang di antara Terengganu dengan Selangor akan menyaksikan mereka akan bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah pun mengesahkan tempat mereka di perlawanan akhir semalam.
Dalam satu lagi separuh akhir yang berlangsung semalam, JDT telah mempamerkan dominasi penuh apabila membelasah Penang FC 6-1.