Impian Nafuzi Zain nak bertemu JDT di perlawanan akhir tercapai

1,808

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain gembira selepas pasukannya berjaya tumpaskan Selangor FC dalam penentuan penalti telah membawa mereka ke perlawanan akhir Piala FA.

Kemenangan itu akan menyaksikan Terengganu akan bertemu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah pun mengesahkan tempat mereka di perlawanan akhir semalam selepas membelasah Penang FC 6-1.


Menurut Nafuzi, kejayaan pasukannya itu sekaligus membuatkan impiannya untuk bertemu dengan JDT pada perlawanan akhir tercapai juga.

“Sebelum ini kita (Terengganu) sering bertemu dengan JDT di peringkat suku akhir atau pun di separuh akhir. Bagaimanapun kali ini kita akhirnya akan bertemu dengan mereka pada perlawanan akhir Piala FA nanti.

Jadi impian saya nak bertemu JDT di perlawanan akhir tercapai juga,”

katanya.

Nafuzi berkata walaupun rancangan awal mereka mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit tidak tercapai, namun beliau memuji kesemua pemainnya yang mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang perlawanan yang diheret ke penentuan penalti.

“Ya perancangan awal kita adalah untuk tamatkan perlawanan ini pada 90 minit, tetapi akibat kecederaan beberapa pemain import yang terpaksa dikeluarkan awal menyebabkan saya terpaksa membuat penggantian.

Dalam bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku, oleh itu kita kena sentiasa bersedia dan saya sangat bangga dengan kesemua pemain saya terutamanya pemain-pemain muda yang berjaya pamer aksi terbaik mereka dihadapan puluhan ribu penyokong.”

Terdahulu, Selangor terlebih dahulu bermula garang apabila menjaringkan gol pada minit ke-23 menerusi Norhakim Hassan yang mana mereka mendahului Terengganu sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Terengganu terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya pada minit ke-48 mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi pemain sensasi mereka iaitu Faisal Halim.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa kedua dan masih buntu mencari gol kemenangan ketika beraksi dalam masa tambahan.

Penjaga gol muda Rahadiazli Rahalim menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan daripada pemain Selangor dan Shahrul Nizam Ros Hasni berjaya menyempurnakan penalti untuk memberi kemenangan 4-2.

Tarikh dan venue untuk perlawanan akhir Piala FA akan diumumkan pada hari Selasa depan.