Kebijaksanaan Hamidin, FAM jadi kunci peningkatan bola sepak Malaysia
Hujung minggu lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan Kongres Tahunan kali ke-58 dengan beberapa perkara menjadi fokus.
Antara perkara yang dikupas oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin adalah mengenai lawan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya September ini.
Menurutnya, Kim Pan-gon ada memintanya untuk menyusun perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Chinese Taipei.
Namun, Hamidin berkata beliau secara terus menolak cadangan itu kerana merasakan Malaysia harus berdepan lawan yang berada di ranking dunia lebih tinggi, dan disebabkan itulah FAM menerima jemputan Thailand untuk menyertai King’s Cup yang bakal disertai Thailand, Bolivia dan Kyrgyzstan.
Ini adalah satu tindakan yang begitu wajar daripada beliau kerana skuad negara akan mendapat manfaat yang lebih baik menentang pasukan yang lebih kuat.
Selain itu, Hamidin juga mendedahkan bahawa ketua jurulatih skuad B-23 baru bagi menggantikan Brad Maloney akan dimuktamadkan hujung bulan ini dengan mengambil kira cadangan daripada Pan-gon sendiri.
Beliau berkata ini bagi mewujudkan kelangsungan gaya permainan dan memudahkan transisi pemain skuad B-23 ke dalam skuad utama.
Dua nama telah disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu iaitu bekas ketua jurulatih Korea Selatan B-23, Kim Hak-bum dan penolong ketua jurulatih Kitchee FC, Kim Dong-jin.
Sekiranya ini benar, ia adalah satu situasi ‘win-win’ bagi skuad B-23 negara dan skuad utama negara kerana para pemain akan bermain dengan falsafah yang sama.
Malaysia juga bakal menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 yang memberi tiket untuk ke Olimpik 2024 jadi ketua jurulatih baru harus dilantik dengan segera dan mula bekerja dari sekarang.
Hamidin turut menjelaskan mengenai pemisahan antara persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) dan menegaskan bahawa FA memainkan banyak peranan penting walaupun pemisahan sudah berlaku.
Beliau berkata, FA bertanggungjawab besar dari segi pembangunan teknikal, pertandingan, tadbir urus dan kepengadilan yang mampu menjana pendapatan buat mereka.
Ini menunjukkan FAM, terutamanya Hamidin, semakin serius dan proaktif dalam membangunkan bola sepak Malaysia dan terlibat secara langsung dalam membuat keputusan penting melibatkan pasukan negara.
Sebelum ini, ramai yang mengecam beliau dan juga FAM kerana dilihat gagal meningkatkan mutu bola sepak negara.
Tetapi ini mungkin satu titik perubahan yang mula ditunjukkan oleh FAM di bawah pengurusan Hamidin.
Diharapkan FAM dan Hamidin terus melakukan keputusan yang baik seperti ini bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.