Tidak adil! Kenapa salahkan RMS atas persembahan hambar Selangor FC?
Selepas separuh musim Liga Malaysia berlangsung, persembahan Selangor FC tidak seperti yang diharapkan oleh penyokong-penyokong setianya.
Dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum ini juga, Gergasi Merah gagal menampilkan aksi yang baik dengan mencatatkan hanya satu kemenangan daripada lima perlawanan.
Disebabkan gagal mencapai jangkaan yang diletakkan oleh para penyokong, terdapat suara yang meletakkan kesalahan terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor (RMS).
Ada yang merasakan bahawa baginda tidak begitu mengambil kisah mengenai bola sepak Selangor seperti yang dilakukan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di kelab selatan itu.
Sebilangan peminat membandingkan cara pengurusan baginda dan TMJ yang berjaya merubah JDT menjadi kelab yang disegani bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.
Namun, kritikan dan perbandingan ini dilihat tidak adil buat baginda dan seakan-akan mencari individu untuk dipersalahkan atas kegagalan pemain-pemain serta barisan kejurulatihan menampilkan aksi mantap.
Pasukan Merah Kuning diketahui antara pasukan yang tidak mempunyai masalah gaji dan dari segi pengurusan juga pelbagai peningkatan ditunjukkan sejak RMS mengambil alih.
Jadi untuk menjadikan baginda sebagai ‘kambing hitam’ adalah satu tindakan yang tidak wajar dan boleh dikatakan menderhaka.
Lagipun, setiap individu mempunyai caranya yang tersendiri dalam menguruskan kelab bola sepak dan kerja-kerja yang dilakukan baginda adalah di sebalik tabir.
Jadi, baginda tidak seharusnya dikaitkan sebagai punca persembahan hambar pasukan tetapi para pemain dan jurulatihlah yang harus bertanggungjawab.