Aidil Shahrin sudah tahu kekuatan dan kelemahan PSM Makassar, mahu habiskan perlawanan dalam 90 minit
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Shahrin sudah melakukan persediaan rapi dengan menganalisis perlawanan PSM Makassar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada perlawanan separuh akhir zon ASEAN Piala AFC Selasa ini.
Menurutnya, beliau sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan PSM Makassar dan sedar bahawa mereka adalah satu pasukan yang kuat.
“Sekarang ini, pemain sudah tidak sabar dan fokus terhadap perlawanan ini tetapi kami sedar betapa bagusnya pasukan lawan dan kami hormati mereka.
Saya harap para pemain sudah bersedia. Saya jangkakan satu perlawanan yang sukar,”
katanya.
Aidil menyifatkan bahawa PSM Makassar adalah sebuah pasukan yang bertahan dan menyerang dengan baik sebagai satu pasukan dan berbahaya ketika set piece dan serangan balas.
Beliau turut memuji kapten mereka, Wiljan Pluim yang mempunyai pengalaman luas serta bek sayap kiri dan kanan yang pantas ketika menyerang.
“Kami akan cuba untuk habiskan dalam masa 90 minit kerana ini adalah misi hidup mati kami dan hanya satu pasukan yang akan melangkah ke perlawanan akhir.
Mungkin kami ada sedikit kelebihan dari segi kecergasan kerana mereka baru sahaja bermain menentang Persija Jakarta dua hari lalu jadi kami harus ambil peluang ini.”
Dalam pada itu, pertahanan KDA FC, Mohd Loqman Hakim bertekad mahu berikan yang terbaik pada perlawanan esok dan teruja untuk kembali beraksi di pentas Piala AFC.
Menurutnya, segala persiapan berada dalam keadaan yang baik dan segala-galanya terserah kepada dirinya dan rakan-rakan kelak.