Komen ‘jentera netizen’ cemari arena sukan Malaysia
Serangan bertali arus netizen di media sosial bukan sahaja tidak mampu mengubah keputusan tetapi ia tidak menggambarkan semangat kesukanan yang sepatutnya ditampilkan oleh rakyat Malaysia.
Saban hari, makin banyak mesej berbaur perkauman, kecaman, kutuk-mengutuk, sumpah-seranah dan hasut-menghasut akan melintas di paparan media sosial.
Tidak kira apa isu sekali pun, budaya negatif seperti ini semakin menular dalam komuniti terutama netizen Malaysia.
Mangsa terbaharu adalah pemain-pemain skuad bola sepak kebangsaan yang pulang awal daripada Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura.
Para penyokong seolah-olah tidak dapat menerima kekalahan 0-3 Harimau Malaya kepada Vietnam dan 1-4 di tangan Indonesia.
Ramai pemain Harimau Malaya menjadi mangsa termasuk pemain kacukan, Dion Cools dan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula serta Junior Eldstal.
Turut menerima tempias adalah Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe; para pegawai dan Presiden Persatuan Bola Speak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Selain memberikan tekanan kepada individu-individu tertentu, sikap netizen ini menyebabkan imej yang buruk kepada negara di mata orang luar.
Semua sedar budaya negatif seperti ini semakin menular dalam komuniti, namun berapa ramai sebenarnya ambil kisah.
Inikah norma baharu yang ingin kita hadapi?
Diam tak diam, rasanya sudah semakin menjadi ‘budaya’ dalam interaksi media sosial komuniti kita.
Sebelum ini, ramai lagi atlet negara yang terkesan dengan sikap buruk netizen Malaysia.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Lee Chong Wei juga meluahkan rasa sedih dengan komen-komen negatif yang dilemparkan netizen terhadap pemain badminton negara.
Sebagai bekas rakan sepasukan, Chong Wei mengakui kecewa dengan jumlah komen negatif yang memberikan terhadap pemain badminton selepas kekalahan dalam perlawanan mereka di Tokyo.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengutuk sekeras-kerasnya komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap pemain perseorangan wanita negara, S Kisona.
Sebagai badan induk sukan badminton negara, BAM tidak bertolak-ansur terhadap sebarang tindakan berbentuk perkauman atau diskriminasi selain akan sentiasa menyokong barisan pemain negara.
Netizen Malaysia juga pernah bertindak lebih buruk apabila berani menyerang atlet luar negara.
Pelumba basikal Britain, Jack Carlin pernah dikecam kerana dikatakan menjadi punca Muhammad Shah Firdaus Sahrom terjatuh pada perlumbaan saringan kedua acara berbasikal Sukan Olimpik 2020.
Serangan itu turut mendorong Carlin menutup ruangan komen pada akaun Instagram miliknya.
Pada temasya yang sama juga, pelumba Australia, Matthew Glaetzer menjadi mangsa kecaman netizen Malaysia.
Jaguh Australia itu dikatakan menjadi punca yang menyebabkan Datuk Azizulhasni Awang terlepas peluang untuk memenangi pingat emas pada final acara keirin.
Mereka pernah menyerang laman sosial atlet Ukraine serta Jawatankuasa Paralimpik Ukraine selepas berang dengan keputusan kontroversi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektuan) pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Kejayaan Muhammad Ziyad Zolkefli sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu telah dinafikan
Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan bantahan dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Tindakan yang disifatkan sebagai agak keterlaluan itu turut mendapat perhatian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.