Arif Aiman perlu kekal konsisten tingkatkan potensi diri untuk gandakan pendapatan

3,209

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) telah mendedahkan gaji bulanan yang diterima oleh pemain sayap lincah, Arif Aiman yang ‘hanya’ berjumlah RM11,000 pada musim lepas.

Hal ini telah dikongsikan sendiri oleh TMJ menerusi posting di laman Instagram miliknya dalam menjelaskan kaedah beliau menguruskan pasukan sehingga menjadi antara kelab yang semakin digeruni di Asia Tenggara dan Asia.


Jumlah gaji yang diterima oleh pemain muda ini boleh dikatakan agak rendah jika mengambil kira sumbangan beliau kepada pasukan Harimau Selatan.

Namun begitu, ada kemungkinan jumlah yang dinyatakan ini sekadar di atas kertas sahaja kerana jumlah itu tidak termasuk dengan bonus dan elaun tambahan seperti bonus komitmen dalam latihan dan perlawanan yang dinyatakan oleh TMJ sebelum ini.

Lebih-lebih lagi, jumlah yang dinyatakan ini adalah bayaran yang diterima pada musim lepas dan bukan pendapatan semasa beliau.

Semestinya, angka ini telah naik secara mendadak ekoran daripada peranan yang dimainkan oleh Arif selaku pemain utama yang banyak membantu pasukan JDT mencapai kejayaan demi kejayaan.

Tidak mustahil untuk kita melihat jumlah ini akan terus meningkat dalam masa terdekat sekiranya Arif berjaya mempamerkan konsistensi pada musim seterusnya.

Tambahan pula, pendekatan yang diambil oleh TMJ menerusi ‘DNA TMJ’ cukup menghargai para pemain seperti Arif yang memberikan komitmen 100% serta mempamerkan aksi yang berkualiti kepada pasukan.

Daripada 13 perlawanan liga musim ini, Arif telah melakukan sebanyak 12 penampilan dan berjaya menghasilkan sembilan bantuan jaringan.

Beliau juga telah memainkan peranan yang cukup besar kepada kejayaan pasukan JDT dalam mengharungi kempen AFC Champions League (ACL) 2022.

Lebih manis, kelincahan pemain ini telah menghadiahkan gol minit akhir pada perlawanan penentuan Kumpulan I menentang Ulsan Hyundai pada 30 April yang lalu.

Kemenangan 2-1 ke atas pasukan dari Korea Selatan ini telah mencipta sejarah baru buat pasukan tersebut yang pertama kali layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL.

Arif terus mencapai kegemilangan selepas berjaya menjaringkan hatrik pada aksi separuh akhir Piala FA menentang pasukan Penang FC baru-baru ini.

Kemenangan ini mengesahkan kemaraan JDT ke perlawanan akhir Piala FA buat kali ketiga.

Ini cukup membuktikan kualiti yang dimiliki oleh pemain muda berusia 20 tahun ini dalam menjadi nadi kecemerlangan pasukan JDT.

Pada masa yang sama, corak permainan berkualiti daripada Arif mula mendapat perhatian dari pemerhati bola sepak antarabangsa.

Baru-baru ini, seorang penganalis bola sepak luar negara, @ekrass42 telah berkongsi satu thread menerusi akaun Twitter beliau mengenai potensi dan kemampuan pemain ini.

Sekiranya beliau terus berusaha meningkatkan kualiti permainannya, tidak mustahil untuk beliau mendapat peluang untuk mengembangkan kariernya untuk beraksi dengan kelab yang lebih hebat di luar negara terutamanya Eropah.

Arif yang kini bernilai sekitar RM1.3 juta merupakan pemain muda termahal yang dimiliki oleh negara di samping seorang lagi pemain JDT, Safawi Rasid.

Beliau merupakan salah seorang pemain yang dilihat berjaya mengikut acuan yang telah dibentuk oleh pemilik kelab menerusi pendekatan yang diterapkan oleh TMJ.

Falsafah yang diperkenalkan ini berjaya membantu pasukan memenangi 32 trofi selepas lebih sedekad TMJ mengambil alih pucuk pimpinan JDT.

Selepas ini, kelincahan Arif di bahagian sayap akan terus ditagih pada perlawanan getir menentang kelab dari Jepun, Urawa Red Diamonds di pusingan 16 terbaik ACL 2022 yang dijadual pada 19 Ogos ini.