Rexy terkedu, Aaron Chia-Woi Yik masih gagal bukti kemampuan selaku beregu utama negara

2,826

Skuad badminton negara mengakhiri kempen Sukan Komanwel 2022 dengan cemerlang selepas berjaya melepasi sasaran dua emas yang telah diletakkan sebelum ini.

Namun, kegagalan beregu utama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang gagal membawa pulang pingat pada aksi individu terus menimbulkan kegusaran di hati peminat badminton negara.


Pasangan beregu ini tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan daripada England, Ben Lane-Sean Vendy pada saingan separuh akhir acara beregu lelaki.

Lebih mendukacitakan, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo ini telah mempamerkan aksi longlai di set penentuan sehingga menyebabkan mereka tewas 21-4 serta meranapkan impian untuk membawa pulang satu lagi pingat emas daripada acara tersebut.

Kekalahan ini meleburkan rekod baik yang telah dicatatkan oleh beregu negara menerusi empat kemenangan pada pertemuan sebelum ini.  

Kekecewaan ini turut dikongsi oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yang dilihat hampa dengan prestasi anak buahnya.

Meskipun memenangi pingat gangsa pada kejohanan ini selepas menewaskan rakan senegara, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng, Rexy tetap kecewa dengan kegagalan pasangan ini untuk kembali mendapatkan rentak kecemerlangan.

Persefahaman yang kurang baik di antara kedua-dua pemain di atas gelanggang jelas menjadi antara faktor utama kekalahan selepas mereka dilihat melakukan beberapa kesilapan mudah yang menghadiahkan mata kepada pasukan lawan.  

Situasi ini jelas berbeza dengan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah yang berjaya memperoleh pingat emas di temasya Sukan Komanwel kali ini.

Aksi bertenaga mereka turut mendapat pujian daripada Rexy yang cukup berpuas hati dengan pencapaian tersebut.

Pada masa yang sama, pemain perseorangan muda negara, Ng Tze Yong turut mencipta kejutan selepas berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir.

Cukup membanggakan, beliau berjaya menewaskan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew serta melakukan kejutan menang ke atas bekas pemain No. 1 Dunia, Srikanth Kidambi dari India pada saingan separuh akhir.

Walaupun tewas di perlawanan akhir kepada seorang lagi pemain India, Lakshya Sen dalam rubber set, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan tetap berbangga dengan kebangkitan yang ditunjukkan oleh pemain tersebut.

Hendrawan turut melihat kejayaan di Birmingham ini akan menjadi pembakar semangat kepada kejayaan yang bakal dicapai oleh Tze Yong pada masa hadapan.

Semoga kejayaan rakan senegara di Sukan Komanwel ini dapat menjadi motivasi kepada pasangan beregu lelaki ini untuk kembali mempamerkan aksi yang lebih menyakinkan pada kejohanan seterusnya.

Pasangan ini perlu segera mendapatkan persefahaman dalam usaha membuang ‘badi separuh akhir’ yang dihadapi oleh mereka.

Aaron dan Wooi Yik telah terkandas pada beberapa perlawanan separuh akhir tahun ini serta tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Asia pada Mei yang lalu di tangan beregu Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.

Solusi perlu dicari dengan segera tatkala pasangan ini akan berhadapan dengan saingan yang lebih getir pada Kejohanan Badminton Dunia Tokyo yang akan membuka tirai pada 21 Ogos kelak.