Harimau Buta bukan lagi pasukan belasahan

429

Pasukan Harimau Buta membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasukan belasahan apabila berjaya mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang pasukan Jepun dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur menyaksikan skuad negara tidak lagi menjadi mangsa belasan Jepun apabila mereka berjaya seri dan tewas tipis sahaja, sekaligus memperlihatkan peningkatan prestasi ketara yang cukup membanggakan.


Ini kerana sebelum ini ketika bertemu dengan pasukan Jepun, skuad kendalian ketua jurulatih Sunny Shalesh sering tewas dengan jumlah jaringan yang besar.

“Kita sebenarnya bukan dibelasah. Pada 2019 kita pernah kalah 5-0 dan 6-0. Namun kini kita tidak lagi jadi pasukan belasan kerana kita berjaya seri dan tewas dengan jaringan tepis saja.

Perlawanan kali ini merupakan kesempatan untuk kami mempraktikkan taktikal baru yang kami rancang dan juga sebagai pembelajaran buat pemain-pemain baru,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Shalesh berkata perlawanan persahabatan menentang Jepun ini adalah sebahagian daripada persiapan pasukan untuk menghadapi saingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Buta Asia yang akan berlangsung pada November depan di India.

Pada masa sama Shalesh juga memberi bayangan anak buahnya berkemungkinan akan bertemu dengan pasukan India sebagai persiapan terakhir sebelum menghadapi kelayakan tersebut.

“Ini adalah perlawanan terakhir. Namun begitu, mungkin kita akan pertimbangkan satu lagi perlawanan persahabatan jika ada permintaan daripada pasukan India untuk datang ke sini bagi menguji skuad buat kali terakhir sebelum kelayakan Kejohanan Bola Sepak Buta Asia.”

Sementara itu, Shalesh turut memberitahu bahawa seramai 18 pemain yang berada dalam skuad ketika ini akan dikurangkan kepada 10 pemain yang mana sebanyak lapan pemain dan dua penjaga gol akan dikekalkan untuk menghadapi kelayakan Kejohanan Bola Sepak Buta Asia.