KPG tak akan berdepan masalah jika Piala Asia ditunda ke 2024 sekiranya Qatar atau Australia dipilih sebagai tuan rumah
Selepas skuad kebangsaan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit pada bulan Mei lalu, peminat tempatan nyata tidak sabar untuk menanti kejohanan tersebut.
Bagaimanapun jika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih Qatar atau Australia sebagai tuan rumah untuk Piala Asia, tarikh kejohanan itu akan ditunda kepada tahun 2024 dan ini pasti mencetuskan kebimbangan peminat Harimau Malaya.
Walaupun AFC hanya akan mengumumkan keputusan negara yang akan dipilih sebagai tuan rumah pada 17 Oktober depan, namun ia tidak menghalang peminat meluahkan kebimbangan mereka sekiranya ia akan menganggu perjalanan Liga Malaysia sekaligus menyebabkan ketua jurulatih Kim Pan-gon tidak dapat bawa pemain terbaik.
Ekor Harimau Malaya tidak perlu bimbang kerana Pan-gon tidak akan berdepan sebarang masalah untuk mempersiapkan pasukan ke kejohanan Piala Asia samada ia akan berlangsung pada 2023 mahu pun 2024.
Ini kerana pihak penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) sudah pun mempunyai perancangan mereka sendiri dalam menyusun jadual Liga Malaysia kerana ketika temubual eksklusif bersama Harimau Malaya baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Stuart Ramalingam telah menjelaskan bahawa jadual liga akan bergantung pada negara mana yang terpilih sebagai tuan rumah Piala Asia.
Malah pihak MFL juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan jika kejohanan itu akan diadakan pada 2024, oleh itu peminat tidak perlu bimbang dengan persiapan skuad negara nanti.
Jelas Stuart lagi, pihak MFL akan sentiasa memberi keutamaan kepada pasukan negara tidak kira skuad senior, B-23 mahu pun B-19.
Terdahulu sebanyak empat buah negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Australia dan Qatar telah membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah.
Sekiranya Korea Selatan atau Indonesia dipilih menjadi tuan rumah, maka kejohanan Piala Asia akan berlangsung seperti dirancang pada Jun atau Julai tahun 2023, manakala jika Qatar atau Australia dipilih kejohanan itu akan ditunda kepada tahun 2024 berikutan perbezaan cuaca.
AFC ketika ini sedang membuat kunjungan dan penilaian terhadap keempat-empat negara itu terlebih dahulu bagi memilih tawaran terbaik untuk melangsungkan kejohanan itu.
Terdahulu negara China merupakan tuan rumah kepada kejohanan Piala Asia 2023, namun negara itu terpaksa menarik diri berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat di sana.
Apa sahaja keputusan oleh AFC mengenai venue kejohanan itu nanti, skuad negara tidak akan berdepan sebarang masalah dan Pan-gon mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan sebuah pasukan yang ampuh untuk kejohanan Piala Asia nanti.