Kenny Pallraj mohon penyokong bersabar, urusan rayuan penggantungan Liga Super masih berjalan

1,081

Pemain tengah KL City FC, Kenny Pallraj berharap agar penyokong terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada beliau, meskipun tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Malaysia (Liga M) ekoran daripada penggantungan yang dihadapi sebelum ini.

“Saya harap penyokong terus bersabar, pihak pengurusan sedang melakukan segala yang termampu untuk saya kembali beraksi.

Terima kasih kepada pihak pengurusan yang telah banyak membantu dari pelbagai aspek,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hal ini juga akan memberi kesan yang besar kepada prestasi semasa Kenny yang turut dibawa bersama pasukan bagi menghadapi aksi separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN menentang Viettel FC pada esok hari.


Kali terakhir Kenny diturunkan adalah pada aksi Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers FC dan PSM Makassar yang dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada bulan Jun yang lalu.

Tempoh dua bulan tanpa aksi ini sedikit merencatkan corak permainan cemerlang yang dipamerkan oleh pemain berusia 29 tahun ini dalam mengemudi bahagian tengah The City Boys.

Namun, kemasukan pemain baru seperti penyerang pinjaman, Jordan Mintah sedikit sebanyak membantu pasukan ini untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam mencapai kemenangan menentang pasukan Vietnam itu.

“Sekian lama saya tidak dapat peluang untuk beraksi bersama pasukan dan saya berharap saya dapat bermain dan beri terbaik bersama pasukan.

Kesukaran akan ada tambahan pula saya kurang bermain tapi kami optimis untuk mencari kemenangan dan melakar sejarah sekali lagi bersama pasukan KL City.”

Aksi kurang konsisten yang dipamerkan oleh pasukan lawan mereka dalam saingan liga domestik perlu dimanfaatkan oleh barisan pemain KL City bagi melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN.

Viettel kini berada di tangga ketujuh saingan Liga Vietnam selepas hanya memperoleh empat kemenangan daripada sepuluh perlawanan keseluruhan.

Walaupun begitu, pemain tidak seharusnya berasa terlalu selesa dan bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Kita tidak boleh membandingkan aksi liga dengan kejohanan seperti ini, ia merupakan perkara yang berlainan.

Pendekatan yang akan digunakan adalah berbeza, jadi pencapaian di liga tidak boleh dijadikan kayu ukur.”

Pada masa yang sama, ketua jurulatih pasukan, Bojan Hodak perlu mencari pendekatan terbaik bagi mengembalikan semangat anak buahnya susulan kekecewaan dibelasah oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-0 pada aksi Liga Super sebelum ini.

Pasukan KL City kini berada tangga keempat saingan Liga Super selepas berjaya mencatatkan lima kemenangan musim ini.

Kenny dan pasukan perlu kembali mendapatkan persefahaman terbaik dalam usaha merealisasikan impian peminat untuk melihat pasukan ini melangkah dengan lebih jauh pada kejohanan ini.