Nidzam Jamil dan Firdaus Tan adalah pilihan tepat untuk kendalikan Selangor FC

520

Peminat Selangor FC dikejutkan dengan pengumuman bahawa pihak pengurusan dan Michael Feichtenbeiner telah bersetuju untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad utama selepas prestasi hambar pasukan Merah Kuning sejak beberapa perlawanan sebelum ini.

Walaupun tidak lagi bersama skuad utama, Feichtenbeiner akan kembali memegang jawatan sebagai Pengarah Sukan Selangor yang mana beliau akan menyelia perkembangan ramai pemain muda Selangor yang bakal dinaikkan ke skuad utama.


Kekosongan jawatan ketua jurulatih itu berkemungkinan besar akan digantikan oleh penolong ketua jurulatih iaitu Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih interim (sementara) sehingga pihak pengurusan berjaya dapat pengganti baru.

Ini adalah peluang terbaik buat Nidzam membuktikan kemampuannya sebagai ketua jurulatih kerana beliau merupakan antara jurulatih muda yang sering menjadi perhatian.

Nidzam juga mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam dunia kejurulatihan, malah beliau sebelum ini juga merupakan ketua jurulatih pasukan Felda United FC yang beraksi dalam saingan Liga Super sebelum kelab itu dibubarkan.

Dengan pengalaman yang ada, jurulatih berusia 42 tahun itu merupakan calon paling sesuai untuk mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan oleh Feichtenbeiner, oleh itu pihak pengurusan mungkin boleh memberi peluang kepadanya untuk mengendalikan pasukan itu sehingga habis musim.

Memandangkan Nidzam kini menjadi ketua jurulatih sementara, maka beliau pastinya perlu seorang penolong ketua jurulatih dan antara nama paling sesuai adalah ketua jurulatih skuad B-19 Selangor iaitu Firdaus Tan.

Firdaus sebelum ini pernah menjadi sebutan apabila namanya pernah dicalonkan sebagai salah seorang pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum E. Elavarasan dipilih.

Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia kejurulatihan dan merupakan orang yang bertanggungjawab dalam membimbing skuad muda Selangor yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala Belia musim ini.

Oleh itu, kedua-dua nama ini iaitu Nidzam dan Firdaus sememangnya layak diberikan peluang untuk mengendalikan skuad utama Selangor ini.

Mungkin di bawah kendalian kedua-dua mereka, Selangor akan kembali menjadi gergasi seperti satu ketika dahulu.

Kejayaan Terengganu FC dan Terengganu FC II dibawah kendalian Nafuzi Zain dan Badrul Afzan telah menjadi bukti bahawa negara mempunyai jurulatih tempatan muda yang berkualiti jika peluang dan kepercayaan diberikan.