Persembahan di Sukan Komanwel 2022 jadi kebanggaan, tetapi perjuangan masih belum selesai

385

Selepas 11 hari berlangsung, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham England akhirnya melabuhkan tirainya dengan upacara penutup di Stadium Alexander, Perry Barr.

Keringat 104 atlet negara membuahkan hasil apabila berjaya melepasi sasaran enam emas yang diletakkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila meraih tujuh emas, menyamai kutipan ketika edisi sebelum ini pada 2018 di Gold Coast, Australia.


Pencapaian itu cukup membanggakan terutama selepas dua prospek emas negara, iaitu Lee Zii Jia dalam sukan badminton menarik diri daripada kejohanan itu manakala pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari tidak dapat menyertai akibat kemalangan jalan raya.

Menurut presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, atlet gimnastik, Ng Joe Ee dan atlet angkat berat, Mohd Aznil Bidin diangkat sebagai atlet paling berjaya berdasarkan pencapaian mereka di kejohanan itu.

Joe Ee menyumbang dua pingat emas bagi disipilin bola dan riben manakala Mohd Aznil pula merangkul emas menerusi acara 61 kilogram (kg) lelaki, dan berjaya mencipta tiga rekod baru kejohanan dalam snatch (127kg) dan clean and jerk (158kg) dengan angkatan keseluruhan 285kg.

Badminton, gimnastik dan angkat berat menjadi sukan paling berjaya apabila masing-masing menyumbang dua pingat emas, manakala satu lagi emas disumbangkan oleh para powerlifting.

Badminton juga menjadi sukan paling banyak menyumbang pingat iaitu lima, diikuti oleh terjun (empat), gimnastik dan angkat berat (tiga), boling padang dan ping-pong (dua), serta berbasikal, judo, para powerlifting dan squash masing-masing satu.

Berikut adalah senarai atlet yang berjaya menyumbang pingat buat negara di Sukan Olimpik 2022:

Emas:

1. Mohamad Aniq Kasdan – Angkat Berat 55 kilogram (kg) lelaki

2. Muhamad Aznil Bidin – Angkat Berat 61kg lelaki

3. Badminton – Berpasukan Campuran (Ng Tze Yong, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M.Thinaah, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See)

4. Bonnie Bunyau Gustin – Powerlifting 72 kg lelaki

5. Ng Joe Ee – Gimnastik (disiplin bola)

6. Ng Joe Ee – Gimnastik (disiplin riben)

7. Pearly Tan-M.Thinaah – Beregu Wanita

Perak:

1. Muhammad Erry Hidayat – Angkat Berat 73kg lelaki

2. Ping Pong – Berpasukan wanita (Tee Ai Xin, Karen Lyne, Alice Chang Li Sian, Ho Ying)

3. Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh – 3m papan anjal seirama lelaki

4. Boling padang – Triples wanita (Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, Azlina Arshad)

5. Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng Yan Yee – 3m papan anjal seirama wanita

6. Nur Dhabitah Sabri – 3m papan anjal wanita

7. Javen Choong-Karen Lyne – Ping Pong Beregu Campuran

8. Ng Tze Yong – Badminton Perseorangan Lelaki

Gangsa:

1. Muhammad Shah Firdaus Sahrom – Keirin lelaki

2. Siti Zalina Ahmad – Boling padang singles wanita

3. Amir Daniel Abdul Majeed – Judo 73kg lelaki

4. Izzah Amzan – Gimnastik (disiplin belantan)

5. Aaron Chia-Soh Wooi Yik – Badminton beregu lelaki

6. Tan Kian Meng-Lai Pei Jing – Badminton beregu campuran

7. Nur Dhabitah Sabri-Muhammad Syafiq Puteh – 3m papan anjal seirama campuran

8. Aifa Azman-Rachel Arnold – Skuasy beregu wanita

Dalam pada itu, Norza berkata bahawa program latihan bagi atlet boling padang, terjun dan olahraga perlu dirombak semula selepas mereka menampilkan prestasi membimbangkan.

Norza turut berkata kesemua sukan itu harus menampilkan muka baharu kerana terlalu bergantung harap kepada atlet senior.

Ini adalah satu perkara yang harus dipandang serius oleh badan induk sukan masing-masing terutama bagi sukan yang disenaraikan di Olimpik kerana temasya itu bakal berlangsung dua tahun saja lagi.

Sukan Komanwel ini harus menjadi kayu ukur buat setiap sukan dalam menilai persembahan masing-masing dan meningkatkan prestasi bagi menghadapi lebih banyak kejohanan pada masa depan.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada semua atlet yang memerah keringat di Sukan Komanwel untuk membanggakan nama negara. Jumpa lagi di edisi seterusnya di Victoria, Australia.