Azwan Atan yakin skuad Harimau Buta mampu layak ke kelayakan Piala Dunia Orang Buta tahun 2023

276

Aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Jepun baru-baru ini terus meningkatkan keyakinan penjaga gol Harimau Buta, Azwan Atan akan kemampuan beliau dan rakan sepasukannya untuk beraksi di kelayakan Piala Dunia Orang Buta.

Biarpun kemenangan tidak memihak skuad negara namun, persembahan yang dipamerkan memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara berbanding dengan perlawanan menentang pasukan Thailand sebelum ini.


“Walaupun kita tewas, saya lihat ada peningkatan berbanding masa lawan Thailand, dari segi kawalan, kerjasama, dan pertahanan.

Oleh itu saya berharap kami dapat bermain di kelayakan Piala Dunia pada tahun hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, skuad Harimau Buta kini mempunyai beberapa pemain baru yang masih perlukan latihan bersama dengan lebih kerap untuk mendapatkan keserasian dengan pemain lama, sekaligus memantapkan lagi pasukan.

Azwan berkata, perlawanan menentang pasukan Jepun baru-baru ini adalah salah satu persiapkan skuad negara bagi menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan Piala Dunia Buta Asia yang bakal berlangsung November ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Harimau Buta, Sunny Shalesh turut meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Piala Dunia Orang Buta yang mana untuk merealisasikan impian itu mereka perlu menyertai pusingan kelayakan.

“Untuk layak ke Piala Dunia merupakan program yang akan mengambil masa yang lama. Bagaimanapun untuk merealisasikannya kita perlu sertai pusingan kelayakan.

Jika kita kalah kelayakan pertama, kita boleh pergi lagi. Yang penting kita perlu belajar, lebih maju dan menutup jurang kita dengan negara-negara Asia.

Kita pernah duduki ranking 17 dunia pada tahun 2017-2019, jadi ini adalah waktu untuk ubah kedudukan kita.”

Terdahulu, skuad Harimau Buta pernah hampir mecipta sejarah layak ke Piala Dunia apabila berada di kedudukan kelima Asia dalam pusingan kelayakan.

Bagaimanapun impian itu tidak kesampaian apabila hanya kedudukan tiga teratas sahaja yang layak ke Piala Dunia.

Shalesh tidak pernah beri tekanan kepada pemain, sebaliknya pemain Harimau Buta sendiri mempunyai motivasi mereka sendiri untuk mencipta nama dan mahu beraksi di pentas tertinggi dunia.

Malah beliau menyifatkan kekalahan yang dihadapi anak buahnya adalah asam garam dalam perlawanan bola sepak.