Sudah bosan hidup mewah, kenyataan Raffi Ahmad tunjukkan sikap ‘bongkak’ pemilik kelab bola sepak

2,521

Selebriti Indonesia, Raffi Ahmad sememangnya seorang personaliti yang begitu disegani di negara itu kerana pencapaian beliau dalam industri hiburan.

Setelah berkecimpung lama dalam bidang hiburan, beliau mengambil keputusan untuk terlibat dalam arena bola sepak dengan membeli kelab Cilegon United tahun lalu.


Beliau telah melakukan banyak perubahan di kelab itu termasuk menukar namanya kepada RANS Nusantara sebagai salah satu penjenamaan semula.

Pelaburannya ternyata berhasil apabila kelab itu berjaya dinaikkan ke Liga 1 selepas menduduki tangga kedua Liga 2 musim lalu.

Penglibatan beliau dalam bola sepak Indonesia sememangnya memeriahkan lagi arena bola sepak negara itu kerana kejayaan yang dibawanya dalam masa singkat setelah mengambil alih RANS Nusantara.

Baru-baru ini, Raffi mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau sudah bosan dengan kehidupan mewah yang dilaluinya.

Sebagai seorang pemilik kelab yang tersohor di Indonesia, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan sikap bongkak dan ia tidak bagus bagi reputasi beliau khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Sedangkan pemilik kelab-kelab besar di dunia seperti Roman Abramovich pun tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu walaupun mempunyai harta kekayaan berkali ganda daripada beliau.

Pemilik bola sepak harus memiliki semangat dalam bola sepak dan mengambil tahu mengenai segala yang berlaku dalam pasukan, seperti yang ditunjukkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Johor Darul Ta’zim.

Walaupun apa yang dilakukan olehnya ketika ini nampak seakan-akan menjadi, tanpa ‘passion’ dalam bola sepak, tidak mustahil apa yang diusahakan oleh beliau di RANS Nusantara akan menjadi sia-sia.

Untuk berjaya dalam jangka masa panjang, kelab bola sepak haruslah diuruskan oleh seseorang yang betul-betul mempunyai ‘otak’ bola sepak dan bukan sekadar menjadikan ia sebagai satu hobi atau untuk mengisi masa lapang.