Rezeki kami di Piala AFC berakhir di separuh akhir – Aidil Sharin Sahak

1,345

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak akur dengan kekalahan pasukannya di tangan PSM Makassar 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN semalam di Bali, Indonesia.

“Saya bangga dengan aksi persembahan para pemain dan rezeki kami berakhir pada malam ini (Selasa). Kita lihat Kekalahan ini dari sudut positif dan ia beri peluang pada kami untuk belajar.

Pada separuh masa pertama kita bermain tidak baik apabila kurang komunikasi antara pemain menjadi punca kita bolos dua gol awal. Namun pada separuh masa kedua kita mula memberi tekanan menerusi serangan namun masih gagal mendapatkan gol.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila pemain lawan dilayangkan kad merah pada minit ke-60 yang menyaksikan mereka mengubah taktikal bertahan penuh menyebabkan pemain lebih sukar menembusi barisan pertahanan,”

katanya.

Serangan bertali arus Kedah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain sayap sensasi Fayadh Zulkilfli berjaya menjaringkan gol pada minit ke-86 untuk merapatkan kedudukan.


Bagaimanapun corak ultra defensive yang dipamerkan PSM Makassar menyebabkan Kedah terus buntu mencari gol penyamaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dalam pada itu, pengendali dari Singapura itu tidak berasa terlalu kecewa atas kekalahan tersebut kerana pemainnya sudah melepasi jangkaan peminat sebelum ini.

“Pada permulaan saingan Piala AFC, tiada siapa yang yakin bahawa kita akan berjaya lepasi peringkat kumpulan, tetapi pemain telah buktikan sebaliknya apabila kita berjaya buat kejutan mara ke separuh akhir Zon ASEAN. Jadi saya tak boleh minta lebih lagi dari itu daripada pemain dan saya harap tahun depan kami akan ada rezeki lagi.”

Dalam pada itu, penjaring gol tunggal Fayadh Zulkifli berkata beliau dan rakan sepasukan sudah berusaha sebaik mungkin untuk menang perlawanan, tetapi mereka tidak bernasib baik dan terpaksa akur dengan kekalahan.

“Kita sudah buat yang terbaik pada malam ini tapi mungkin tiada rezeki buat kami, tapi takdir kami malam ini kalah, jadi kami terima kekalahan ini.”

Terdahulu skuad Sang Kenari tidak diletakkan sebarang sasaran untuk kempen Piala AFC selepas pasukan itu dirombak besar-besaran dengan lebih separuh pemain baru dan muda.

Mereka bermula dengan langkah kiri apabila tewas 2-0 kepada Bali United FC pada perlawanan pertama, namun kemudian berjaya menghidupkan peluang mereka semula apabila membenam Kaya FC 4-1.

Ketika ramai yang sudah menjangkakan perjalanan Kedah dalam saingan Piala AFC akan tamat menentang Visakha FC pada perlawanan terakhir, anak buah Aidil mempamerkan aksi luar biasa apabila membelasah pasukan itu 5-1 sekaligus mara ke separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN.