Salah Aidil Sharin Sahak ke prestasi ‘yo yo’ Kedah Darul Aman FC musim ini? Atau sebaliknya?

690

Kekalahan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kepada PSM Makassar dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN semalam telah menyaksikan pasukan Sang Kenari tersingkir dari saingan berprestij itu.

Peminat berasa sedikit kecewa apabila pasukan Hijau Kuning tidak dapat meneruskan kecemerlangan mereka dalam saingan peringkat kumpulan di perlawanan kalah mati.


Bukan sahaja tersingkir dari Piala AFC, Kedah juga sudah tersingkir dalam saingan Piala FA baru-baru apabila tewas 1-0 di tangan Terengganu FC di pusingan kedua.

Malah Kedah juga bergelut dalam saingan Liga Super apabila kini berada di kedudukan ke tujuh selepas 13 perlawanan yang mana menyaksikan mereka hanya berjaya menang lima perlawanan, seri dua kali dan kalah enam kali.

Lebih mengecewakan adalah pasukan Kedah bolos dengan begitu banyak sekali berbanding musim lalu dan ia telah mecetuskan kebimbangan penyokong Hijau Kuning atas nasib pasukan kesayangan mereka.

Prestasi ‘yo yo’ pasukan Kedah ketika ini membuat segelintir penyokong mula mengkritik dan mendesak agar ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dipecat kerana gagal peroleh keputusan positif.

Desakan oleh segelintir penyokong ini mungkin timbul kerana mereka terlalu kecewa, tetapi persoalannya yang patut ditanya adalah adakah prestasi hambar Kedah ini adalah salah pengendali dari Singapura itu? Atau sebaliknya?

Bagi penyokong celik yang mengikuti rapat perkembangan pasukan dari utara itu sudah semestinya tahu apa yang berlaku pada pasukan sejak awal musim lalu.

Untuk penyokong yang tak sedar, pada awal musim ini pihak pengurusan telah membuat rombakan besar-besaran pasukan dengan melepaskan ramai tonggak seperti pemain import dan dua lagenda iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika itu juga dilihat mempertahankan keputusan itu dengan berkata gaji kedua-dua pemain Baddrol dan Rizal boleh bayar gaji lima pemain lain.

Berikutan mahu berjimat, Kedah telah mengambil pendekatan untuk mengambil ramai pemain muda untuk memperkuatkan pasukan selain kelibat pemain import baru.

Ia adalah satu tindakan yang baik apabila Kedah memberi peluang kepada pemain muda kerana gergasi dari utara itu sememangnya terkenal menghasilkan pemain muda berkualiti, tetapi tanpa ‘panduan’ daripada pemain senior sudah pasti sukar untuk meningkatkan kualiti mereka.

Lihat sahaja apa yang terjadi pada pasukan Kedah ketika ini yang tidak dapat mengekalkan konsistensi. Bukan sahaja masalah pemain muda, musim ini juga agak malang buat Aidil apabila beliau berdepan masalah pemain import.

Pemain import pertama Dennis Buschening terpaksa diketepikan apabila mengalami kecederaan sekaligus menjejaskan skuad.

Ia kemudian disusuli dengan seorang lagi import di bahagian pertahanan iaitu Jang Suk-won yang turut mengalami kecederaan sekaligus memaksanya untuk bersara dari dunia bola sepak.

Seorang lagi pemain pertahanan iaitu Marc Vales juga berdepan masalah kecederaan yang mana beliau kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut dan dijangka akan mula diturunkan tidak lama lagi.

Kemasukan dua pemain import baru-baru ini, Mahmoud Al Mardi dan Sanrawat Dechmitr ternyata memberi impak segera, tetapi tanpa bantuan daripada rakan sepasukan lain agak sukar untuk kedua-dua pemain ini untuk pamer taring sebenar mereka.

Kedah kini hanya akan fokus pada saingan Liga Super sahaja dan juga Piala Malaysia selepas saingan liga tamat.

Pada musim ini Kedah mungkin terpaksa melepaskan kedudukan naib juara liga dua musim berturut-turut kepada pasukan lain berikutan situasi semasa.

Mereka kini perlu bersaing untuk cuba merebut kedudukan Top 5, bagaimanapun jika mereka mampu cipta kejutan demi kejutan selepas ini mungkin mereka boleh mengintai untuk kembali beraksi di Piala AFC musim depan walaupun peluang dikatakan sangat tipis, tetapi ingat dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Jadi berbalik kepada persoalan utama, adakah prestasi semasa Kedah ketika ini adalah salah Aidil 100 peratus? Sudah semestinya tidak!

Tak perlu jadi seorang yang bijak pandai untuk menilai prestasi Aidil kerana lihat sahaja dua musim lalu prestasinya apabila beliau apabila mendapat pemain yang dimahukannya.

Musim ini beliau terpaksa bekerja dengan pemain muda dan kurang pengalaman, jadi ini lah keputusannya. Ia umpama ‘naik kereta kancil tapi nak performance macam kereta GTR, memang tak dapat lah’.

Jadi kepada penyokong yang mahu Aidil dipecat, lebih baik anda tanya pihak pengurusan terlebih dahulu kenapa lakukan rombakan besar-besar dengan membawa masuk ramai pemain baru ketika Kedah akan beraksi di pentas Asia.

Baru-baru ini juga bekas ketua jurulatih Kedah, Azraai Khor yang berjaya membawa pasukan itu menjulang double treble turut memberi komen mengenai pihak pengurusan yang dilihat seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripada penyokong.

Walaubagaimanapun, perkara itu sudah selesai apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali sendiri telah menghubunginya sendiri dan menjelaskan situasi sebenar pasukan.

Ramai penyokong berterima kasih kepada Azraai yang merupakan lagenda Kedah ‘tolong’ menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak pengurusan.

Penyokong setia Hijau Kuning sudah lama bersama pasukan ketika zaman kejatuhan dan juga zaman kegemilangan. Mereka tidak pernah minta diberi keistimewaan, sebaliknya hanya mahu pihak pengurusan bersikap terbuka dan telus.

Bak kata Azraai ketika temubual bersama Harimau Malaya baru-baru ini, ‘Sebuah kelab bola sepak adalah nothing tanpa penyokong!’

Semoga Sang Kenari dapat kembali terbang tinggi! Biar jasa jadi kenangan!