Pemain import punca mutu bola sepak negara merudum

754

Banyak faktor yang menyebabkan prestasi bola sepak negara merosot sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kehadiran pemain import dalam liga bola sepak tempatan semakin hangat diperkatakan di platform media sosial.


Kritikan itu berpunca daripada kekalahan pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Harimau Malaya yang dibimbing Tan Cheng Hoe mempamerkan persembahan terburuk selepas dibelasah Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4 di peringkat kumpulan.

Kelemahan paling ketara adalah di posisi serangan selain tengah dan pertahanan.

Pada bulan September 2021, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan cadangan berkaitan kuota import dalam Liga Malaysia.

Peraturan yang ditetapkan ketika ini adalah membenarkan setiap pasukan mendaftarkan 5 pemain import dalam saingan Liga Super.

Kebanyakan pemain import yang diambil pula rata-rata beraksi di posisi serangan dan pertahanan.

Sebenarnya, kehadiran pemain import itu boleh memberikan kesan positif kepada liga tempatan dan pemain.

Ia akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam merebut posisi utama, sekali gus bermain dalam setiap perlawanan.

Pemain tempatan juga boleh belajar daripada pemain-pemain import tentang teknik-teknik dan kemahiran yang mereka miliki.

Ini kerana kebanyakkan pemain import mempunyai latar belakang yang berbeza dan datang dari negara atau benua yang berlainan.

Pemain-pemain tempatan wajar mengambil peluang ini.

Bagaimanapun, jika kuota pemain import terlalu ramai, ia akan menutup peluang pemain tempatan untuk beraksi lebih kerap.

Ketika ini, posisi serangan sangat kritikal dan Malaysia sudah lama tidak mempunyai penyerang yang berkualiti seperti Safee Sali.

Sumber Foto: Berita Harian

Sudah tentu ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada perkembangan pemain tempatan dan boleh menyebabkan mereka mempunyai kurang minit permainan.

Lantaran itu, para penyokong Harimau Malaya mendesak MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengurangkan jumlah pemain import daripada 5 orang kepada 3 orang.

Ketiga-tiga pemain import itu juga perlu bermain di posisi yang berlain dalam setiap pasukan.

Selain membantu melahirkan pemain yang berkualiti, syarat terbaharu itu nanti memberi banyak peluang kepada pemain tempatan untuk belajar daripada pemain import.

Sebelum ini, FAM menghentikan sementara kemasukan pemain import dalam Liga Malaysia pada musim 2009.

Kesannya, skuad bola kebangsaan mencatat kejayaan mendadak.

Pada tahun pertama tanpa pemain import, Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos iaitu pingat emas pertama acara bola sepak selepas 20 tahun.

Pada 2010, tanpa diduga kita muncul juara Piala Suzuki AFF buat pertama kali.

Malaysia mempertahankan pula pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta.

Ketiga-tiga kejayaan tersebut dicapai ketika liga tempatan tidak melibatkan aksi pemain import.

Bagaimanapun, mulai musim 2012, FAM kembali membenarkan pasukan tempatan menggunakan pemain import.

Ini menyekat peluang pemain tempatan mendapat tempat dalam pasukan terutama pada posisi serangan.

Kesan pertama yang dirasai akibat kemasukan semula pemain import, Malaysia gagal mempertahankan Piala AFF Suzuki.

Sebenarnya, ada kebaikan dan keburukan dalam pengambilan pemain import terhadap sesebuah pasukan.

Sejak Liga Super mula diperkenalkan pada 2004, pasukan tempatan mula dibanjiri pemain import yang hebat terutama pada bahagian serangan seperti Julio Cesar Rodriguez (Sabah), Zacharia Simukonda (Perlis) Keita Mandjou (Perak) dan Marlon Alex James (Kedah).

Kesan ketara daripada kemasukan pemain import ini ialah pada Piala Asia 2007 apabila Malaysia yang menjadi tuan rumah bersama, dibelasah teruk dalam saingan peringkat kumpulan dengan hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan.