Pembelian Mahmoud Al Mardi dan Sanrawat Dechmitr akan menjadi aset berguna buat Kedah Darul Aman FC untuk musim depan

789

Walaupun Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sudah tersingkir dari saingan Piala AFC selepas tumpas kepada PSM Makassar dalam perlawanan separuh akhir Zon ASEAN semalam dan juga sudah keluar dari saingan Piala FA, namun rata-rata peminat memuji aksi dua import, Mahmoud Al Mardi dan Sanrawat Dechmitr.

Kemasukan pemain dari Jordan dan Thailand ini nyata memberi impak segera kepada pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak yang mana menyaksikan mereka berjaya bantu skuad Sang Kenari melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFC walaupun tiada harapan yang diletakkan.


Ternyata kemasukan dua pemain ini pada jendela perpindahan kedua secara pinjaman berjaya memikat hati peminat yang mahu terus lihat mereka kekal di Darul Aman pada musim depan.

Mardi merupakan pemain dari kelab Liga Bahrain iaitu Al-Muharraq yang juga merupakan juara bertahan Piala AFC.

Pemain antarabangsa Jordan itu merupakan antara pemain yang cukup mantap di atas padang dan dengan usianya yang baru mencecah 28 tahun, pihak pengurusan sepatutnya sudah membuat perancangan untuk mengekalkannya bersama pasukan untuk musim 2023.

Walaupun kontrak Mardi bersama kelabnya hanya akan tamat pada November 2023, namun Kedah mungkin boleh membuat perbincangan bersama pemain itu dan kelabnya untuk berbincang dan mencari kata sepakat untuk melepaskan pemain itu ke Kedah.

Pemain sayap kiri ini bukan sahaja mempunyai kawalan bola yang cukup baik, tetapi beliau merupakan seorang pemain yang mempunyai pakej lengkap dan sangat efektif ketika menyerang dan boleh menjaringkan gol.

Sumber foto: KDA FC

Sekiranya pemain ini mendapat bantuan penuh dari pemain bahagian tengah, ditambah dengan gandingan di sebelah kanan oleh pemain muda Fayadh Zulkifli, sudah pasti Kedah akan mempunyai senjata berbisa di bahagian sayap.

Seorang lagi pemain yang patut dikekalkan di Alor Setar adalah pemain tengah dari Thailand iaitu Sanrawat yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan Gajah Perang.

Kemasukannya pada pertengahan musim ternyata banyak membantu di bahagian tengah Kedah yang tempang apabila Dechi Marcel mengalami kecederaan.

Walaupun berusia 33 tahun, namun aksi yang dipamerkan oleh Sanrawat nyata memukau kerana beliau seorang pemain yang sangat rajin tatkala mereka sedang menyerang dan juga bertahan.

Beliau juga bukan seorang pemain yang gemar menunggu bola, sebaliknya beliau akan mengejar untuk dapatkan bola. Jika bola terlepas dari kawalannya, beliau akan pastikan mengejar dan mendapatkan semula.

Hantaran-hantaran daripada Sanrawat juga sangat berbisa dan tepat kepada pemain sayap dan penyerang.

Sumber foto: KDA FC

Bahagian tengah Kedah akan lebih ampuh apabila Dechi kembali pulih dari kecederaan dan dengan kedua-dua pemain ini berganding, ia akan memberi kelebihan kerana mereka mempunyai idea dan visi yang cukup baik ketika menyerang dan cepat turun untuk bantu barisan pertahanan.

Sanrawat dijangka akan kembali menyertai kelab asalnya, True Bangkok United selepas saingan Liga Malaysia tamat hujung tahun ini kerana beliau mempunyai kontrak lagi sehingga Mei 2024.

Jika Kedah tidak berjaya dapatkan Sanrawat secara tetap dek yuran perpindahan yang tinggi, mungkin mereka boleh meminta tempoh pinjaman dilanjutkan yang mana Sanrawat berkemungkinan besar mahu kekal di Kedah.

Sekiranya beliau balik ke pangkuan kelab asalnya, peluangnya untuk turun dalam kesebelasan utama mungkin tipis, namun jika beliau bersama Kedah sudah pasti khidmatnya akan terus ditagih dan ia secara tidak langsung akan meningkatkan prestasinya berikutan mendapat minit permainan.

Oleh itu, diharap pihak pengurusan dapat ‘buat kerja’ cepat untuk pastikan kedua-dua pemain ini kekal bersama Kedah pada musim depan kerana peminat sudah lama dahagakan kejayaan yang mana dengan adanya mereka, ia pasti akan memberi sedikit sinar harapan buat peminat Hijau Kuning.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen