Hadir ke stadium buat pertama kali selepas 28 tahun akibat kecewa skandal mengatur perlawanan Liga Malaysia 1994

2,954

Kemenangan tipis Negeri Sembilan FC 3-2 ke atas Penang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam memastikan kelab terus mengekori rapat Sabah FC yang berada di tangga kedua Liga Super.

Di sebalik ribuan penyokong yang hadir ke stadium itu, perlawanan itu berjaya mengukir senyuman buat seorang penyokong yang membawa bapanya untuk menonton bola di stadium setelah sekian lama.


Berkongsi kisah di laman Twitter, @Marchfoward berkata, bapanya sudah 28 tahun tidak hadir ke stadium akibat kecewa dengan skandal mengatur perlawanan yang menggemparkan arena bola sepak negara pada 1994.

Menurutnya, bapanya dan rakan-rakan hilang minat untuk ke stadium kerana berasa tertipu dengan pemain-pemain yang terlibat.

Bagi peminat otai Liga Malaysia, skandal tersebut mungkin masih lagi segar di ingatan mereka kerana ia memberi kesan yang besar terhadap arena bola sepak negara ketika itu.

Ia juga boleh dikatakan sebagai salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah sukan tempatan dan mengakibatkan mutu bola sepak negara merosot dengan teruk.

Negara juga kehilangan beberapa nama besar seperti penyerang prolifik Sabah, Matlan Marjan, ketua pasukan Selangor, Abdul Malek Rahman dan bekas penyerang Kedah, Faridzuan Che Hamid akibat digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mungkin kesan terhadap penyokong tidak pernah digembar-gemburkan sebelum ini, tetapi kisah yang dikongsi saudara Irfan itu harus membuka mata semua pihak.

Rasuah dalam bola sepak bukan sahaja memberi kesan kepada pemain, kelab dan badan bola sepak tetapi juga penyokong setia yang berhabis wang dan tenaga untuk turun ke stadium.

Penyokong hadir ke stadium untuk menyaksikan pemain beraksi dengan bersungguh-sungguh tetapi apabila mengetahui bahawa mereka menerima rasuah, sudah tentu akan merasa dikhianati.

Walaupun ia sudah lama berlalu, ‘luka’ yang ditinggalakan amatlah mendalam dan masih memberi kesan kepada peminat bola sepak tempatan.

Ia juga menjadi satu pengajaran besar buat arena bola sepak tempatan yang ketika itu baru saja beralih daripada semi-pro kepada profesional.

Tanpa peminat, tiadalah bola sepak. Disebabkan itulah apa saja keputusan atau tindakan yang dilakukan oleh pemain dan juga kelab, peminat harus menjadi keutamaan.

Memetik kata-kata daripada bekas ketua jurulatih lagenda Kedah Darul Aman FC iaitu Azraai Khor Abdullah yang berkata; ‘Kelab bola sepak adalah nothing tanpa penyokong’, oleh itu diharap kegiatan tidak bermoral ini tidak lagi berlaku dalam Liga Malaysia.