KDA FC makin terumbang-ambing, ini masanya Sanusi fokus kepada pasukan dan kurangkan kenyataan kontroversi

7,280

Kelantangan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila bercakap mengenai bola sepak tempatan dan juga pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sememangnya menambah rencah dan memeriahkan lagi Liga Malaysia.

Beliau juga terkenal dengan kenyataan-kenyataan kontroversi terutamanya melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti isu ‘tokong’ yang pernah tular baru-baru ini.


Namun, apabila lantang bersuara, sudah pasti akan ada pihak yang tidak berpuas hati dan sanggup melakukan apa saja untuk memburukkan beliau.

Sanusi baru-baru ini meluahkan perasaan kesalnya kerana difitnah membuat kenyataan mengenai JDT yang kerap masuk ke perlawanan akhir.

Minggu lalu, JDT berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas membelasah Penang FC 6-1.

Tetapi Sanusi berkata, kenyataan yang tular itu sebenarnya adalah palsu kerana beliau tidak pernah memberi komen mengenai kejayaan JDT ke perlawanan akhir itu.

Tidak dinafikan bahawa fitnah adalah satu perbuatan yang salah tetapi bagi peminat bola sepak tempatan, mereka mungkin mudah percaya kerana Sanusi memang terkenal dengan kenyataan kontroversinya.

Ia juga membuka peluang dan ruang buat para ‘haters’ yang tidak senang dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Mungkin ini adalah masanya untuk Sanusi supaya ‘diam’ sebentar dan memberi tumpuan kepada pasukan Kedah yang ketika ini sedang terumbang-ambing.

Kedah baru saja tersingkir daripada Piala AFC selepas tewas 2-1 kepada PSM Makassar semalam dan sebelum ini tersingkir di pusingan kedua Piala FA di tangan Terengganu FC.

Kejuaraan liga juga boleh dikatakan sudah tertutup buat pasukan itu malah untuk menamatkan saingan di lima teratas juga dilihat sukar berdasarkan prestasi semasa.

Sebelum musim ini bermula, Sanusi juga pernah berkata bahawa sasarannya musim ini untuk pasukan Kedah adalah mengatasi JDT untuk merebut takhta Liga Super namun ia jelas jauh tersasar.

Daripada terus mengeluarkan kenyataan kontroversi ataupun ‘mencari gaduh’ dengan pihak lain, mungkin lebih baik fokus untuk memperbaiki pasukan.

Jika pasukan sendiri sudah cemerlang, barulah tiada pihak yang mahu mempertikaikan apa yang beliau suarakan.