Saya serah kepada Azeem dan ibu bapanya, bukan tempat saya untuk buat keputusan – Amir Izwan
Jurulatih pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah tidak ingin mencampuri urusan pemilihan destinasi masa depan anak buahnya, Azeem Fahmi.
Beliau percaya segala keputusan yang bakal dilakukan akan mampu memberi impak yang baik kepada masa depan atlet muda tersebut.
“Saya tiada sebarang komen tentang tawaran, saya serahkan kepada ibu bapa beliau untuk tentukan.
Bukan tempat saya untuk menentukan masa depan beliau,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Azeem yang telah berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan masa 10.09 saat pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun telah menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pelajaran dan berlatih di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, beliau turut percaya dengan kemampuan yang dimiliki oleh kemampuan pelari ini untuk lebih menyerlah di masa hadapan.
Pelari muda dari Thailand, Puripol Boonson dilihat akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Azeem pada beberapa kejohanan di peringkat ASEAN yang bakal mendatang.
Usia muda kedua-dua atlet berbakat ini membolehkan mereka mencipta perseteruan yang dilihat akan bertahan untuk jangka masa yang agak panjang.
“Saya percaya dua atlet ASEAN ini akan terus menggegarkan dunia olahraga di peringkat antarabangsa.
Tidak boleh disangkal, di peringkat Asia Tenggara mereka berdua ini akan mencipta persaingan yang cukup sengit berdasarkan rekod mereka buat masa ini.”
Tidak dapat dinafikan kemampuan Boonson dalam mencapai catatan masa yang baik pada usia muda namun, tekad dan usaha Azeem mampu membantu pelari dari Perak tersebut untuk terus memberikan saingan.
Boonson turut berjaya mencatatkan masa 10.09 saat pada pusingan separuh akhir di kejohanan yang sama.
Dalam pada itu, Amir berharap agar Azeem tidak terleka dengan pujian dan fokus yang diberikan kepada beliau selepas kejayaan yang diraih.
Beliau memasang harapan untuk melihat anak buahnya terus mempamerkan konsistensi dalam usaha untuk memperbaiki pencapaian selepas ini.
“Saya selalu ingatkan bahawa pujian-pujian itu adalah ujian halus, pujian itu juga boleh merosakkan apa yang telah dia ciptakan sekarang.
Jangan terlalu megah dengan apa yang dicapai, terus fokus dengan apa yang dia ingin lakukan.”
Amir akan terus berhadapan dengan tugas berat selepas ini untuk memastikan Azeem dapat meneruskan rentak kecemerlangannya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 September ini.