Perpindahan ke Khon Kaen United peluang buat Liridon Krasniqi kembali bersama Harimau Malaya

671

Teka-teki mengenai masa depan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab selepas beliau akan menyertai kelab Thailand, Khon Kaen United secara pinjaman.

Beliau kembali ke JDT Mei lalu selepas tempoh pinjamannya di kelab India, Odisha FC tamat dan sejak itu beliau tidak tampil dalam mana-mana perlawanan.


Ini merupakan kelab ketiga yang beliau sertai secara pinjaman selepas berpindah ke JDT dari Melaka United pada 2019.

Sebelum ini, beliau juga pernah menyertai kelab Australia, Newcastle Jets.

Perpindahan ini mungkin satu yang baik bagi kariernya selepas gagal mendapatkan tempat dalam skuad JDT.

Ini adalah peluang buatnya untuk menunjukkan kembali kemampuannya kepada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang menyisihkan beliau pada kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu.

Beliau jelas tidak dapat menyimpan kekecewaannya selepas tidak dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kelayakan itu dan memuatnaik satu hantaran Instastory meluahkan rasa sedihnya.

Jadi dengan peluang beraksi di Thailand ini, beliau harus mempamerkan prestasi yang mantap kerana ia mungkin peluang terakhir baginya membuktikan kepada Pan-gon.

Sekiranya dapat mengulangi aksinya ketika di Odisha, tidak mustahil namanya akan dipanggil sekali lagi dalam skuad kebangsaan.

Ini juga merupakan medan untuknya kembali menarik perhatian pasukan-pasukan tempatan yang mungkin mempunyai hasrat untuk memancing beliau dari JDT.

Siapa yang boleh lupa persembahan mantap beliau ketika di Kedah satu ketika dahulu, ketika itu beliau boleh dikatakan salah seorang pemain terbaik dalam Liga Malaysia.

Kedah juga ketika ini sedang melalui tempoh yang buruk selepas aksi hambar dalam saingan Liga Super, serta tersingkir daripada Piala FA dan Piala AFC.

Bekas ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe juga disebut-sebut bakal mengambil alih semula kelab itu.

Sekiranya Kedah berjaya mendapatkan semula Cheng Hoe dan Liridon musim depan, tidak mustahil zaman kegemilangan Kedah mampu kembali semula.

Apa yang pasti, sekiranya beliau berjaya menampilkan aksi cemerlang di Thailand, ia mampu menghidupkan kembali kariernya di Liga Malaysia dan juga bersama skuad kebangsaan.