Belum ramai yang boleh terima wanita dalam bola sepak, kami hanya perlukan sokongan daripada peminat – Mecca Rania

636

Ketua pasukan B-19 negara, Mecca Rania berharap akan ada perubahan dari segi penerimaan penyokong Malaysia terhadap bola sepak wanita.

Sehingga ke hari ini, boleh dilihat tahap keterbukaan penyokong di Malaysia terhadap bola sepak wanita masih berada di tahap yang sangat mengecewakan.


Baru-baru ini, pemain futsal wanita negara, Intan Serah sekali lagi menjadi mangsa buli siber.

Lebih menyedihkan ada di antara mereka yang gemar menggunakan unsur seksis dan lucah dalam komen-komen yang diberikan dan ini adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.

“Kalau kata dekat Malaysia, sampai sekarang orang masih menganggap bola sepak hanya untuk lelaki.

Kami hanya memerlukan sokongan daripada peminat bola sepak dan menerima bahawa wanita juga mampu untuk bermain bola sepak,”

kata Rania kepada Harimau Malaya.

Pemain lincah berusia 17 tahun itu merupakan salah seorang pemain yang telah menggalas cabaran negara di kejohanan Piala AFF B-19 Wanita yang berlangsung Julai lalu.

Tambahan pula, pencapaian kurang memberangsangkan pasukan wanita negara di beberapa kejohanan sebelum ini turut menyebabkan buli siber dan komen negatif terhadap para pemain semakin teruk.

Meskipun gagal mara ke pusingan kalah mati, pemain B-19 Malayan Tigress berjaya mempamerkan semangat tidak mudah mengalah sehingga berjaya mengalahkan pasukan Filipina pada aksi terakhir kumpulan dengan jaringan 2-1.

Rania berjaya membantu mengembalikan semangat pasukan selepas tewas pada dua perlawanan awal kumpulan menentang juara kejohanan, Australia dan juga Myanmar.

“Saya sering berhadapan dengan buli siber, ketika kami kalah di saingan Piala AFF baru-baru ini, banyak komen negatif yang diberikan.

Tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk tidak mengendahkan segala komen buruk dan ambil dari sisi yang lebih positif.”

Semoga sikap negatif ini dapat diperbetulkan dengan segera bagi memastikan usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak dalam mempromosi bola sepak wanita tidak menemui jalan buntu.

Sokongan dan dorongan yang diberikan oleh kesemua penyokong bola sepak di Malaysia mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain negara untuk memperbaiki prestasi semasa dan menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Rania kini sedang membantu pasukan Selangor FC bagi mengharungi saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim ini.

Terdahulu, beliau juga merupakan salah seorang pemain yang telah membantu pasukan futsal Melaka United menjuarai saingan Liga Premier Futsal Malaysia Wanita 2022.