Firdaus Faudzi idam bawa KL Rovers ke final, yakin kemampuan rakan sepasukan beraksi di peringkat lebih tinggi

456

Ketua pasukan KL Rovers, Firdaus Faudzi melihat kemampuan kesemua pemain yang dimiliki oleh pasukan mampu membawa kelab ini untuk melangkah lebih jauh.

Pasukan tersebut berjaya memperoleh slot ke peringkat kalah mati Liga M3 susulan kemenangan 4-2 pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Harini FT.


Kemenangan ini meletakkan mereka di kedudukan keempat Kumpulan B dan dijadual bertemu Kinabalu Jaguar di peringkat suku akhir.

“Harapan saya untuk pasukan ini adalah mara sehingga ke perlawanan akhir kerana kesemua pemain memiliki potensi untuk bermain di Liga Super dan Liga Perdana.

Matlamat utama saya adalah untuk ke final, tetapi kita akan beri fokus perlawanan demi perlawanan untuk mencapai hasrat tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

KL Rovers bermula dengan agak perlahan selepas mempamerkan aksi tidak konsisten di saingan awal Liga M3 musim ini.

Meskipun tidak menghadapi banyak kekalahan, pasukan ibu kota ini dilihat sedikit bergelut mencari kemenangan selepas mencatatkan tujuh aksi yang berakhir dengan keputusan seri.

“Keserasian datang lambat untuk pasukan KL Rovers, sebab itu kami menghadapi kesukaran pada pusingan awal.

Namun, segalanya berubah pada pusingan kedua kami dapat mencapai keserasian yang dilihat memberi kesan pada beberapa perlawanan terakhir.”

Lawan mereka selepas ini, Kinabalu Jaguar bukanlah lawan yang mudah untuk dihadapi tatkala pasukan Borneo tersebut telah berjaya menjadi juara Kumpulan A dengan 45 mata daripada 18 perlawanan.

Ketajaman pasukan Kinabalu Jaguar juga perlu diberi perhatian dengan lebih teliti oleh barisan pertahanan KL Rovers.

Kinabalu Jaguar merupakan pasukan yang berjaya mencatatkan jumlah jaringan tertinggi pada saingan Liga M3 musim ini dengan jumlah 42 gol.

Pengalaman daripada beberapa bekas pemain Liga Super dalam pasukan KL Rovers akan ditagih untuk memastikan mereka berjaya melakukan kejutan pada perlawanan tersebut.

“Bertemu dengan Kinabalu Jaguar FC selaku juara kumpulan, KL Rovers hanya akan fokus kepada pasukan kami.

Tidak kisah pasukan mana yang akan kami temui, kami akan berikan yang terbaik tambahan pula kami ada beberapa bekas pemain profesional untuk memperkuat pasukan.”

Firdaus sendiri merupakan salah seorang bekas pemain pasukan Liga Super.

Pemain berusia 35 tahun ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan ternama seperti Felda United, Perlis dan juga Sime Darby di Liga Malaysia.