Lepas kritik pasukan sendiri, Zamsaham kritik Perak FC pula buang masa ketika perlawanan
Pasukan Kelantan FC sudah pun menjadi bualan ramai sejak awal musim ini apabila mereka mempamerkan aksi yang cukup konsisten sepanjang musim ini dan kini menjadi peneraju Liga Perdana.
Bagaimanapun ketika perlawanan liga yang berlangsung di Stadium Muhammad IV menentang Perak FC, beberapa insiden telah berlaku ketika perlawanan dan juga selepas perlawanan.
Pemilik Kelantan iaitu Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham menerima kekalahan 2-1 tersebut dengan hati yang terbuka sambil memberi komen sinis supaya pasukannya tidak mencontohi pasukan lawan yang ‘berlakon’ di atas padang untuk membuang masa.
“Semoga Kelantan FC tak jadi macam team ‘P’ berlakon drama, guling-guling dan lambatkan perlawanan bila dah lead 2-1 tadi. Dekat 20 minit buang masa gitu ja. Macam-macam dunia bola. Lucu dan geram pun ada,” tulisnya di Facebook.
Zamsaham bagaimanapun telah memadam posting tersebut mungkin tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Pada perlawanan semalam, Kelantan tewas tipis sekaligus mencalarkan rekod bersih mereka di laman sendiri.
Ini bukanlah kali pertama Zamsaham membangkitkan isu buang masa di atas padang kerana sebelum ini beliau dengan lantang mengkritik pemainnya sendiri yang menggunakan taktik membuang masa apabila sedang mendahului pihak lawan.
Pada perlawanan tersebut, pemain import The Bos Gaurus iaitu Sunday Kolawole Afolabi dilihat membuang masa dengan melakukan tarian sebelum melakukan aksi berguling-guling yang mencetuskan kemarahan ramai peminat yang hadir ke stadium.
Lebih mengejutkan adalah tindakan yang dilakukan oleh Afolabi itu adalah atas ‘arahan’ ketua jurulatih Perak sendiri iaitu Yusri Che Lah.
Yusri berkata demikian ketika sidang media selepas tamat perlawanan yang mengakui memang beliau yang meminta pemain itu menari dan tidak kisah jika Afolabi dikenakan kad merah berikutan tiga mata sudah terjamin.
Mungkin itu adalah taktikal Yusri untuk melemahkan moral pasukan lawan, tetapi perkara seperti itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum sebaliknya biarlah ia menjadi ‘rahsia’ pasukan kerana dengan pengakuan oleh Yusri menyebabkan ramai yang mengecam beliau sebagai seorang yang tidak profesional.
Selain insiden di atas padang, satu insiden tidak diingini turut berlaku di luar padang membabitkan penyokong kedua-dua pasukan sehingga pihak berkuasa terpaksa mengarahkan kesemua penyokong Perak untuk masuk ke padang dan tunggu sehingga kesemua penyokong The Red Warriors beredar sebelum mereka dibenarkan pulang bagi mengelakkan insiden pergaduhan tercetus.
Zamsaham pada masa sama turut mendedahkan bahawa penyokong pihak lawan berkelakuan tidak senonoh apabila bertindak memijak bendera, kencing dan melakukan provokasi kepada penyokong tuan rumah.
Beliau berharap agar penyokong lebih beradap dan menghormati sesama penyokong lain dan tidak membuang kacau kerana menang dan kalah adalah adat perlawanan.
Walaupun tewas, Kelantan masih lagi berada di puncak Liga Perdana dengan 32 mata dan masih mempunyai peluang yang cukup cerah untuk menjulang juara liga pada hujung musim ini.