Penambahan kuota ACL akan tarik minat lebih ramai pemain import berkualiti ke Liga Malaysia

2,175

Seperti yang sedia maklum, kemenangan KL City FC menentang Viettel FC di pusingan separuh akhir Zon ASEAN semalam telah melonjakkan lagi kedudukan ranking MA Malaysia ke tangga kesembilan.

Kejayaan ini telah memberi penambahan sebanyak 0.512 mata untuk membuka peluang lebih tinggi kepada kesemua pasukan Liga Malaysia untuk beraksi di dalam saingan AFC Champions League (ACL) bagi musim 2024/2025 menerusi slot 2+2.


Terdahulu, kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC mara ke peringkat 16 terbaik ACL musim ini juga menyumbang sejumlah besar mata dalam meletakkan negara di kedudukan yang selesa.

Ini bermakna musim depan, pasukan Liga M akan berentap untuk mendapatkan dua slot automatik ke peringkat kumpulan ACL manakala dua lagi pasukan akan berentap di saingan play-off.

Sekiranya gagal melepasi play-off, Malaysia tetap akan dapat melihat empat wakil dari Malaysia di kejohanan Asia kerana mereka akan terus beraksi di saingan Piala AFC sama seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City musim ini.

Kelebihan ini dilihat akan menjadikan liga di negara kita semakin kompetitif dan lebih mencabar serta mampu menarik minat lebih ramai pemain berkualiti dari luar negara untuk beraksi bersama pasukan Liga M yang berpotensi untuk layak ke peringkat yang lebih tinggi.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan penambahan kuota import yang termaktub dalam rombakan liga musim depan seperti yang telah diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.

Lebih menarik, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga telah menaikkan kuota pemain import dari 3+1 musim ini kepada 5+1 yang akan mula digunakan pada musim 2023/2024.

Kelebihan ini boleh digunakan oleh kelab-kelab utama di Liga M musim depan untuk memastikan pasukan mereka layak beraksi di peringkat tertinggi Asia.

Walaubagaimanapun, secara logiknya, peluang ini dilihat akan lebih berpihak kepada pasukan yang memiliki kantung kewangan yang besar dan mampu menampung perbelanjaan kemasukan pemain import berkualiti bagi memperkuat pasukan.

Dalam pada itu, perkara ini akan terus menjulang reputasi liga tempatan yang dilihat kurang mendapat perhatian berbanding liga negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia jadi satu-satunya negara Asia Tenggara yang memiliki slot terbesar layak secara automatik ke peringkat kumpulan pada saingan ACL musim 2024/2025.

Vietnam yang berada satu tangga di bawah tidak mempunyai peluang untuk menambah mata.

Kekalahan Viettel semalam menutup rapat peluang Vietnam untuk memperbaiki kedudukan setelah kesemua pasukan yang beraksi dalam saingan ACL dan Piala AFC dari negara tersebut telah tersingkir.

Manakala, Thailand yang masih mempunyai wakil tunggal, BG Pathum United yang akan beraksi di pusingan kalah mati ACL 18 Ogos ini bertemu wakil Hong Kong, Kitchee SC.

Namun, Thailand dilihat memiliki peluang yang sangat tipis untuk memintas kedudukan Malaysia tatkala wakil mereka perlu mara sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir.

Malaysia masih berpeluang untuk terus mengumpul mata sekiranya KL City dan JDT berjaya mencapai kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Diharap agar kedua-dua wakil negara yang masih bertanding di peringkat Asia mampu menggalas cabaran untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi.

Cabaran pasukan JDT di ACL akan kembali bersambung pada 19 Ogos ini apabila dijadual bertemu pasukan Urawa Red Diamonds dari Jepun di tempat lawan.

KL City yang pertama kali beraksi di kejohanan Piala AFC akan sekali lagi melayani kunjungan pasukan PSM Makassar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 24 Ogos ini untuk perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN.