Terima kasih KL City FC kerana sahkan Malaysia dapat slot 2+2 di ACL 2024/25

6,679

KL City FC berjaya menebus kekecewaan peminat Malaysia atas kekalahan Kedah Darul Aman FC apabila The City Boys berjaya membenam Viettel FC pada penentuan penalti dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN semalam.

Kemenangan itu sekaligus mengesahkan Malaysia akan mempunyai wakil di perlawanan akhir Zon ASEAN yang mana KL City akan menentang pasukan dari Indonesia iaitu PSM Makassar yang berjaya menewaskan Kedah 2-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.


Pertembungan antara KL City dan PSM Makassar ini akan menjadi perlawanan ulangan berikutan kedua-dua pasukan ini pernah bertemu dalam saingan kumpulan yang menyaksikan mereka terikat tanpa jaringan.

Namun KL City mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menumpaskan PSM Makassar kerana mereka bukan sahaja akan bermain di tempat sendiri, tetapi juga dua tonggak utama pasukan lawan tidak dapat diturunkan berikutan dilayangkan kad merah ketika menentang Kedah.

Jika mereka berjaya tewaskan PSM Makassar, KL City akan mara ke perlawanan separuh akhir Antara Zon yang mana mereka akan bertemu dengan pasukan dari India iaitu Mohun Bagan FC, pada masa sama menyaksikan pasukan itu bakal mencipta sejarah baru.

Pasukan di Liga Malaysia patut mengucapkan terima kasih kepada KL City kerana kemenangan mereka secara tidak langsung telah mengesahkan bahawa Malaysia akan mendapat slot 2+2 di saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2024/25.

Jika sebelum ini hanya satu pasukan sahaja yang akan layak secara automatik ke ACL dan satu lagi pasukan terpaksa bermain di pusingan play-off, namun pada musim 2024/25 Malaysia akan mempunyai dua pasukan yang akan layak secara automatik ke saingan tertinggi Asia.

Dua lagi pasukan akan bermain di pusingan play-off dan sekiranya kedua-dua pasukan menang, Malaysia akan mempunyai EMPAT pasukan di ACL dan ia pasti akan mencipta sejarah baru buat bola sepak Malaysia.

Bagaimanapun jika kedua-duanya gagal, dua pasukan tersebut akan layak secara automatik beraksi dalam saingan Piala AFC.

KL City boleh dikatakan antara pasukan yang mempunyai kemampuan ‘luar biasa’ apabila bersaing dalam saingan piala dan ia telah dibuktikan pada musim lalu apabila mereka bukan sahaja layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, tetapi mereka berjaya menumbangkan gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim sekaligus menamatkan kemarau trofi lebih 32 tahun.

Berdasarkan jadual dan pasukan yang akan perlu dihadapi oleh KL City, mereka dilihat mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri perlawanan akhir Antara Zon menentang pasukan samada dari Timur atau pun pasukan dari Zon Tengah.

Dengan KL City kembali dapat menggunakan khidmat tonggak utama mereka yang sudah pulih dari kecederaan telah menambahkan lagi peluang mereka untuk cipta sesuatu yang luar biasa.

Mampukah KL City ulang sejarah 2015 yang menyaksikan JDT berjaya menjadi juara Piala AFC? Sama-sama kita tunggu.