Pengadil perlawanan Terengganu FC vs JDT mungkin digantung atau dikenakan tindakan?
Perlawanan tumpuan Liga Super semalam yang bagaikan “rehearsal” final Piala FA, menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus cemerlang dengan kemenangan tipis 2-1 di hadapan ribuan penyokong Terengganu FC.
Kemenangan JDT sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim ini.
Dalam kerancakan perlawanan, ramai peminat sekali lagi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai mutu pengadilan bola sepak Malaysia yang dilihat tidak meningkat langsung.
Perlawanan semalam boleh dikatakan sangat panas dengan beberapa insiden kekasaran berlaku antara pemain kedua-dua pasukan, tetapi insiden paling mendapat perhatian adalah apabila pemain tengah muda, Nathaniel Wan Shio Hong yang tidak diberikan layangan kad kuning kedua oleh pengadil pada separuh masa kedua.
Ia menjadi pertikaian kerana tindakan Hong Wan terjahan keras menggunakan dua kaki terhadap Syafiq Ismail pada minit ke-75 bakal mendatangkan kecederaan serius kepada pemain dari pantai timur tersebut.
Apa yang membuatkan peminat berang adalah insiden itu berlaku betul-betul di depan mata pengadil, dan pengadil hanya memberikan sepakan percuma sahaja, sedangkan terjahan seperti itu sepatutnya dikenakan kad merah terus atau sekurang-kurangnya layangan kad kuning kedua berdasarkan Law of the Game.
Entah bagaimanapun penglihatan pengadil apabila membuat keputusan tersebut, kerana jika pengadil memberi kad kuning kedua kepada Hong Wan sudah pasti JDT terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam 15 minit terakhir.
Insiden itu turut mendapat perhatian Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang mengatakan kesalahan pemain JDT itu adalah serious foul play dan sepatutnya diberikan direct red card.
Komen Subkhiddin adalah berikut:
“Kita perlu melihat kepada beberapa pertimbangan, dari pemerhatian saya pemain berjersi nombor 6 biru (Hong Wan) berlari dari satu jarak dan melakukan sliding tackle pada kelajuan tinggi.
“Pemain itu gagal mengawal badannya yang terus menggelongsor dan menyebabkan force berterusan di point of contact lawannya. Kaki (Hong Wan) lurus dan penggunaan stud adalah jelas semasa terjahan dilakukan.
“Keputusannya, saya berpendapat (Hong Wan) bersalah untuk kesalahan serius foul-play dan kad merah sepatutnya diberikan.”
Komen daripada bekas pengadil antarabangsa penuh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) dan Pengadil Elit AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) memang tidak boleh dipertikaikan kerana jelas pengadil melakukan kesilapan.
Kesalahan seperti ini berkemungkinan akan dibawa ke jawatankuasa disiplin FAM dan pengadil tersebut berkemungkinan akan digantung atau dikenakan tindakan denda.
Masalah mutu pengadilan yang teruk dalam perlawanan Liga Malaysia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dan nampaknya isu ini akan terus berlanjutan berikutan tiada tindakan drastik dilakukan bagi mengatasi masalah ini.
Masalah mutu pengadilan ini bukan salah pengadil sahaja kerana majoriti pengadil Liga Malaysia adalah pengadil amatur dan bukannya profesional.
Sudah banyak kali cadangan untuk mewujudkan satu organisasi khas pengadil bagi melahirkan pengadil profesional disuarakan, tetapi sehingga kini tiada tindakan dilakukan.
Sampai bila masalah mutu pengadilan akan berterusan?