Harimau Malaya sudah bersedia untuk berdepan sesiapa saja di Piala AFF 2022

1,369

Keterujaan peminat bola sepak tempatan untuk melihat skuad kebangsaan turun beraksi semakin membuak-buak selepas kejayaan Harimau Malaya di kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Pasukan Malaysia kendalian Kim Pan-gon akan turun beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada September dan November depan sebelum menyertai kejohanan dwi tahunan Piala AFF 2022.


Majlis undian rasmi kejohanan itu bakal diadakan pada 30 Ogos ini di Bangkok, Thailand yang mana akan menyaksikan kejohanan tahun ini kembali menggunakan format penuh secara timbal balik dengan 10 pasukan yang layak akan merebut gelaran Raja Asia Tenggara.

10 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap pasukan akan bermain dua perlawanan home, dua away di peringkat kumpulan.

Perlawanan separuh akhir dan akhir akan turut menggunakan format timbal balik.

Walaupun rata-rata peminat berharap Malaysia tidak diundi dalam kumpulan maut yang membabitkan pasukan seperti Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia.

Namun jika ia berlaku juga pastinya ramai peminat harap perlawanan home negara akan berdepan pasukan hebat seperti Thailand, Vietnam atau pun Indonesia kerana ia pasti akan menjadi perlawanan yang menakjubkan dan dinanti-nantikan semua.

Ketika ini sebanyak sembilan negara iaitu Vietnam, Thailand, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Malaysia sudah pun sah akan menyertai kejohanan itu dengan pasukan ke-10 akan ditentukan menerusi perlawanan play-off di antara Brunei dan Timor Leste.

Terdahulu pada edisi lepas yang berlangsung di Singapura, skuad negara dimalukan apabila mereka tersingkir awal yang kemudian menyebabkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe mengambil tanggungjawab penuh dengan meletak jawatan.

Bagaimanapun selepas pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dilantik menjadi ketua jurulatih negara yang baru, peningkatan ketara dapat dilihat terutamanya ketika kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan beliau berjaya menamatkan kemarau lebih 40 tahun pasukan Malaysia untuk layak ke Piala Asia secara merit.

Namun peminat tidak boleh terlalu gembira dan pemain juga tidak patut berasa selesa kerana cabaran lebih besar menanti dan pasukan negara perlu buktikan kemampuan mereka dalam setiap perlawanan untuk mengembalikan reputasi Harimau Malaya sebagai pasukan terkuat Asia Tenggara.