Pasukan Liga Malaysia patut jadikan Buriram United sebagai contoh terbaik bagaimana jana pendapatan kelab

6,471

Bola sepak adalah perniagaan! Ia adalah fakta yang tidak boleh disangkal lagi di era bola sepak moden dan ia telah pun terbukti apabila melihat nilai komersial Liga Perdana Inggeris yang berjaya menjadi liga paling popular di dunia.

Apabila liga mempunyai nilai komersial yang tinggi, setiap kelab yang bersaing dalam liga tersebut akan mendapat tempias yang mana mereka akan menjana pendapatan dari pelbagai aspek dan salah satunya adalah penjualan jersi.


Tidak perlu ikut jejak langkah Eropah kerana di rantau Asia Tenggara sendiri sudah ada kelab yang mampu menjana pendapatan sendiri dengan lumayan, malah penjualan jersi mereka lebih banyak berbanding kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris.

Kelab yang dimaksudkan adalah Buriram United, iaitu sebuah kelab yang beraksi di Liga Thailand yang secara konsisten berjaya menjual lebih 600,000 helai jersi pada setiap musim.

Malah Buriram United juga pernah merekodkan jualan tertinggi mereka pada tahun 2019 pada satu perlawanan sahaja yang mana mereka berjaya memperoleh lebih RM3.4 juta untuk penjualan barangan kelab sahaja.

Jadi kenapa kelab-kelab bola sepak di Liga Malaysia tidak jadikan Buriram United sebagai contoh terbaik untuk menjana pendapatan?

Kita semua sedia maklum bahawa liga tempatan sering kali dilanda masalah tunggakan gaji tetapi sehingga kini tiada inisiatif yang dilakukan untuk menyelesaikan perkara itu di peringkat kelab.

Tidak semua kelab yang berdepan masalah gaji tetapi boleh dikatakan hampir kesemua kelab di Liga Malaysia tidak buat sebarang keuntungan langsung, sebaliknya mereka hanya survive atas ihsan wang penajaan sahaja.

Pihak pengurusan kelab perlu berfikiran di luar kotak dan memikirkan cara terbaik untuk menjana pendapatan selain wang penaja dan jualan tiket yang ketika ini sangat mengecewakan.

Buriram United telah buktikan kelab bola sepak boleh menjana pendapatan sendiri dengan membina jenama kelab itu sendiri dan bukannya hanya mengharapkan pasukan bola sepak sahaja.

Pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh kelab bola sepak untuk menjana pendapatan mereka sendiri, pada masa sama ia akan mengukuhkan lagi jenama kelab itu.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh sebab itu pentingnya orang yang berada dalam pengurusan kelab bola sepak ini mempunyai business minded kerana bola sepak adalah ‘lubuk’ wang dan juga perlukan wang yang banyak.

Perkara berkaitan dengan pasukan bola sepak wajib diserahkan kepada mereka yang pakar dalam dunia bola sepak, manakala untuk pengurusan pula mereka tidak perlu jadi peminat bola sepak pun sebaliknya mereka ini adalah golongan profesional yang pakar dalam bidang perniagaan.

Jika dapat kedua-duanya ianya adalah bonus buat pasukan. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh kelab Kerteh FC yang menjadi satu-satunya kelab yang mencatat keuntungan ketika kelab lain bergelut dengan masalah gaji.

Bagi yang tidak tahu, Kerteh FC adalah sebuah kelab bola sepak yang beraksi di Liga M5 ketika ini tetapi disebabkan individu-individu yang menjadi tulang belakang kelab ini adalah yang ‘gila bola’ dan pakar dalam perniagaan, maka mereka berjaya rangka strategi untuk majukan kelab dan juga jana pendapatan.

Mereka yang juga dikenali sebagai The Oilers mempunyai tiga jenis sumber pendapatan iaitu dari perniagaan, penajaan dan juga pelaburan.

Berapa banyak kelab di Liga Super atau di Liga Perdana mempunyai perancangan seperti Kerteh FC? Boleh jamin hanya segelintir kecil sahaja.

Memandangkan musim depan saingan Liga Malaysia dirombak dengan saingan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan sekaligus akan menyaksikan setiap kelab akan bermain lebih banyak perlawanan jadi ia akan meningkatkan kos.

Dari memandangkan situasi ini dari sudut negatif, setiap kelab perlu lihat ia dari sudut positif yang mana lebih banyak perlawanan, ia akan membuka peluang lebih besar kepada setiap pasukan untuk menjana pendapatan.

Oleh itu, diharap setiap kelab yang akan bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan tidak kira Liga Super, Liga M3, Liga M4 atau Liga M5 sekalipun dapat mencari menjana pendapatan mereka sendiri supaya isu tunggakan gaji ini dapat dikurangkan dan tidak lagi wujud di masa hadapan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen