Manjung City FC teruja miliki peluang ke Liga Super, kerja berpasukan jadi senjata utama

1,188

Ketua jurulatih Manjung City FC, Rafae Isa mengakui pemainnya bersemangat untuk menghadapi pusingan kalah mati Liga M3 yang akan bermula pada 20 Ogos ini.

Kejayaan mara ke pusingan suku akhir semakin mencerahkan peluang pasukan Manjung City untuk layak ke Liga Super berdasarkan rombakan liga yang akan dilakukan pada musim depan.


Rafae yang optimis bagaimanapun beliau ingin memberi fokus perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu di samping memikiran beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pihak pengurusan pasukan.

“Tentu sekali kami teruja kerana pasukan dari Liga M3 berpeluang ke Liga Super, semua pemain berasa seronok.

Tapi kami tetap kena mengukur kemampuan dari segi kewangan dan sebagainya, saya serah perkara tersebut kepada pihak tertinggi Manjung City,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pasukan dari Perak ini berjaya mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang saingan Liga M3 berlangsung.

Selepas 18 perlawanan, mereka berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan A di belakang pasukan dari Sabah, Kinabalu Jaguar FC melalui perbezaan sembilan mata.

Kecemerlangan ini membuat Rafae percaya dan yakin dengan kemampuan kesemua pemain tempatan yang dimiliki olehnya ketika ini walaupun akan bertemu dengan pasukan yang kuat sekiranya berjaya layak ke Liga Super musim depan.

“Pandangan saya, kita tahu jika hendak bersaing di Liga Super tanpa pemain import adalah sukar seperti yang dihadapi oleh PJ City ketika ini.

Tapi untuk pasukan saya, berdasarkan tahap semangat berpasukan dan semangat juang tinggi, saya akan cuba menghasilkan pemain tempatan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal terlebih dahulu untuk bersaing dengan pemain import.”

Kualiti ini telah terbukti selepas kejayaan pasukan Manjung City mengikat Sri Pahang FC sebelum tewas 5-4 pada penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala FA musim ini.

Perkara ini turut diakui oleh jurulatih penjaga gol pasukan, Zamri Mat Arif yang turut gembira dengan corak permainan yang berjaya ditunjukkan oleh kesemua pemain.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas selaku bekas penjaga gol pasukan Perak sekitar tahun 1998 berjaya membantu dalam menghasilkan barisan penjaga gol yang cukup berkualiti untuk pasukan.

“Setakat ini, sepanjang 18 perlawanan liga, saya cukup berpuas hati dengan persembahan dari kesemua pemain terutamanya di barisan pertahanan dan penjaga gol.

Kita telah berjaya mencapai sasaran untuk bolos tidak melebihi sepuluh gol dalam saingan Kumpulan A.”

Zamri merupakan salah seorang bekas pemain skuad Seladang yang berjaya membawa pasukan tersebut menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1998.

Khidmat Zamri akan terus diperlukan bagi memantapkan lagi persiapan benteng terakhir pasukan menjelang aksi suku akhir menentang pasukan PIB FC kelak.

Sokongan yang semakin diterima dari komuniti sekitar daerah Manjung menjadi antara kekuatan dan pembakar semangat untuk pasukan ini terus mempamerkan aksi cemerlang.

Tetapi sesuatu tetap perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk meluaskan lagi promosi liga ini agar terus mendapat sambutan dari penyokong bola sepak dari segenap pelusuk negeri.