Faizzwan Dorahim tak mahu lepaskan peluang ke Liga Super, Syamin Baharuddin berazam banggakan warga Manjung

613

Kapten Manjung City FC, Faizzwan Dorahim berazam untuk melakukan yang terbaik dalam peringkat kalah mati Liga M3 bagi mencerahkan peluang layak ke Liga Super musim depan.

Menurutnya, para pemain kini sudah bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan bagi merealisasikan impian tersebut.


“Jika dapat peluang untuk layak ke Liga Super, sudah tentu ia adalah satu penghormatan buat kami, dengan pemain kami yang ramai lagi, mereka boleh merasai sendiri suasana dan pengalaman bermain di liga itu.

Dengan latihan, kerja keras, kerjasama rakan-rakan dan taktikal jurulatih, Insya Allah ada rezeki untuk kami layak. Sekarang hanya tinggal usaha sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faizzwan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan rakan sepasukan dalam saingan Liga M3 musim ini tetapi tidak mahu terlalu selesa dengan kedudukan mereka.

Beliau mahu sentiasa berwaspada dengan semua pasukan kerana apa-apa saja boleh berlaku dalam peringkat kalah mati.

Dalam pada itu, pemain tengah pasukan, Syamin Baharuddin tekad mahu melakukan segala-galanya bagi membawa Manjung City ke Liga Super untuk membanggakan warga tempatan.

Beliau yang dipinjamkan dari Penang FC berkata, bermain di Liga M3 dapat memberinya peluang mendapatkan minit permainan dan menunjukkan kebolehannya.

“Saya rasa puas hati sebab dapat banyak peluang bermain di sini dan dapat jaringkan banyak gol.

Perbezaan antara kedua-dua liga ini mungkin dari segi tekanan daripada penyokong, kalau di Liga M3 ini kurang sikit tetapi dalam padang semuanya sama saja.”

Beliau juga percaya pemain-pemain Manjung City terutama pemain muda mempunyai potensi tinggi untuk bersaing dalam Liga Super sekiranya mereka berusaha tinggi meningkatkan permainan.

Manjung City akan bertemu pasukan PIB FC dalam saingan suku akhir Liga M3 yang akan dilangsungkan secara timbal balik pada 20 dan 27 Ogos ini.