Rohan Shan Tze Navaratnam harap sukan catur dapat lebih tajaan dan publisiti

796

Pemegang gelaran FIDE Master sukan catur, Rohan Shan Tze Navaratnam berharap agar sukan catur diberi publisiti meluah sekaligus memudahkan sukan itu mendapat tajaan.

Ini kerana menurut beliau, pemain catur di Malaysia ketika ini terpaksa keluarkan duit poket sendiri untuk membiayai kos mereka bermain catur.


Tambah jaguh catur berusia 18 tahun itu lagi, sukar untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan catur ini kerana ketika ini hanya mereka yang bersaing di pertandingan catur peringkat dunia sahaja akan mendapat sokongan dari pihak Persekutuan Catur Malaysia.

“Ada banyak anak muda yang berbakat dalam sukan catur tetapi mereka kekurangan tajaan. Dari dulu lagi memang semua pemain catur di Malaysia menanggung sendiri kos untuk sukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu, Rohan berpendapat sukan catur perlu mendapat lebih pendedahan dan publisiti daripada pihak media dan umum.

“Saya rasa sukan catur perlu lebih pendedahan di laman sosial dan sebagainya. Isu ini tidak mudah diselesaikan dan saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini sendiri”

Dalam pada itu, Rohan terus mempamerkan kredibilitinya sebagai seorang pemain catur handalan apabila berjaya merangkul emas dalam acara catur kategori individu di peringkat ASEAN University Games 2022 baru-baru ini.

Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, beliau berharap agar sukan catur akan berkembang pada masa hadapan.

Malah beliau juga berharap pemain catur negara mampu tersenarai dalam Top 10 pemain catur terbaik dunia dan tidak mustahil dapat melahirkan seorang juara dunia catur satu hari nanti.