Mohd Ezmi lebih pentingkan kualiti dari populariti, harap Malaysia mampu lahirkan ‘Grandmaster’ catur pertama

779

Ketua jurulatih pasukan catur ASEAN University Games (AUG) Malaysia, Mohd Ezmi Mahmood lebih mementingkan untuk meningkatkan kualiti sukan catur berbanding mengangkat ia menjadi lebih popular di negara ini.

Menurutnya, beliau lebih menekankan dari segi pembangunan pemain di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat tertinggi supaya ramai pemain catur tempatan dapat mewakili negara di peringkat antarabangsa.


Beliau mengakui sukan ini masih jauh dari segi populariti dengan sukan-sukan lain dan masih ramai yang tidak mempunyai ilmu tentang sukan catur.

“Populariti haruslah seiring dengan pembangunan dan kualiti, saya tak mahu catur dikenali sebagai sukan popular semata mata tetapi tiada kualiti.

Orang kita pun tak pandang sekiranya kita menang dengan pemain catur yang mempunyai gelaran ‘Grandmaster’ atau juara dunia tetepi mereka akan tanya pingat warna apa yang kami bawa pulang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ezmi berkata, beliau berharap Malaysia akan melahirkan seorang pemain bertaraf ‘Grandmaster’, gelaran tertinggi dalam catur, yang pertama dalam tempoh beberapa tahun ini.

Dedahnya, Malaysia kini mempunyai kira-kira lapan pemain bertaraf ‘International Master’, iaitu gelaran kedua tertinggi dalam catur, dan percaya beberapa pemain mempunyai potensi meraih gelaran ‘Grandmaster’.

Dalam pada itu, beliau melihat perkembangan sukan catur di Malaysia semakin menggalakkan dengan pembangunan peringkat akar umbi terutama di sekolah semakin meluas dan akademi-akademi catur semakin banyak.

“Melahirkan pemain yang hebat adalah satu proses panjang, bukannya dalam sekelip mata boleh jadi ‘Grandmaster’.

Catur ini juga adalah sebahagian daripada ilmu kehidupan. Ia mengajar kita supaya tidak sombong, pengurusan masa, psikologi, persediaan mental, membuat keputusan dan banyak lagi.”

Pada kejohanan AUG di Thailand baru-baru ini, skuad kendalian Ezmi menyapu bersih semua empat emas serta turut membawa pulang dua perak.

Malaysia berjaya meraih emas dalam acara individu lelaki dan wanita, serta berpasukan lelaki dan wanita.