Disiplin perkara utama diterapkan Jeremiah Soloman terhadap pelatih Akademi Bola Sepak Wira Muda
Jurulatih di Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM), Jeremiah Soloman berkata beliau sangat menitikberatkan disiplin para pemain sebagai prinsip utama pengajarannya.
Menurutnya, beliau memastikan pelatih-pelatih di AWM sentiasa berdisiplin daripada sebelum sesi latihan sehinggalah selepas sesi latihan.
“Bagi saya perkara paling penting adalah disiplin daripada masa mereka datang untuk latihan sehinggalah habis sesi latihan saya akan teliti perkara itu.
Kalau latihan mula pada pukul 8.00, saya akan berpesan kepada pelatih supaya berada di padang lebih awal sekurang-kurangnya pukul 7.50,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelasnya, sejak setahun lebih bersama akademi itu, beliau melihat sistem pengajaran dan pembelajaran di akademi itu sentiasa meningkat setiap masa.
Menurutnya, ia terbukti berdasarkan keupayaan pelatih-pelatih di akademi itu menarik perhatian beberapa akademi besar di negara ini seperti Akademi Moktar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya suka mengajar di sini kerana struktur, organisasi dan cara sistem latihan dijalankan di sini begitu baik.
Selain itu, walaupun kita berlatih sebagai satu pasukan, kita juga akan utamakan setiap individu dan membantu mereka jika terdapat masalah.”
Dalam pada itu, seorang bapa yang menghantar anaknya di AWM, Mohd Faidrol Mohd Radzi berkata, beliau dapat melihat peningkatan dari segi kemahiran anaknya selepas empat tahun berada di akademi itu.
Beliau turut bersyukur kerana anaknya berjaya menarik perhatian pencari bakat daripada JDT yang melihat permainan anaknya.
“Saya hantar anak saya ke AWM sejak umurnya tujuh tahun, masa tu asas bola sepaknya agak agak kurang tetapi sekarang dapat lihat perkembangan yang positif, dan tahun depan dia akan pergi ke JDT.
Saya percaya akademi adalah antara yang terbaik dari segi fasiliti dan kemudahan, termasuklah tenaga pengajar.”
Beliau berkata, bukan sahaja dari segi kemahiran bola sepak tetapi anaknya juga berjaya meningkatkan kemahiran sosial diri sejak berlatih di AWM.
Mohd Faidrol berharap AWM dapat menjadi contoh kepada banyak lagi akademi di luar supaya pembangunan akar umbi bola sepak di negara ini semakin meningkat.