Keserasian pemain punca utama kegagalan Kedah Darul Aman FC musim ini, bukannya masalah gaji
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menafikan masalah gaji sebagai isu utama yang mendorong kepada kegagalan pasukan tersebut untuk layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN.
Beliau lebih melihat kepada kekurangan dari segi taktikal dan corak permainan yang menjadi punca utama kepada kekalahan 2-1 kepada wakil Indonesia, PSM Makassar.
Sebelum ini, ada segelintir peminat turut menyuarakan pendapat tentang masa depan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak selepas kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh pasukan.
Namun begitu, dapat dilihat bahawa pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebenarnya mempunyai masalah yang lebih besar dan akan memberikan impak yang buruk kepada prestasi mereka musim ini.
Pemain skuad Sang Kenari dilihat tidak mempuyai persefahaman dan keserasian yang baik dan perkara ini tampak jelas di atas padang.
Kehilangan beberapa import utama pasukan ekoran kecederaan pada awal musim memberikan tamparan yang cukup hebat kepada pasukan ini.
Meskipun berjaya membawa masuk beberapa pemain tempatan dan import baru pada jendela perpindahan kedua liga, persefahaman pasukan masih gagal dicapai.
Perkara ini menyebabkan corak taktikal dan pendekatan permainan yang ingin diaplikasikan oleh Aidil terus menemui jalan buntu.
Kehadiran pemain import berkualiti seperti Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Al-Mardi masih gagal membantu dalam membawa impak yang diinginkan oleh peminat kepada keseluruhan prestasi pasukan.
Tidak dinafikan, dua pemain ini sedikit sebanyak berjaya mengubah corak permainan pasukan, namun tanpa kemenangan dan keserasian, perkara ini akan hanya menjadi sia-sia.
Pada masa yang sama, dengan ketiadaan pertahanan import, Marc Vales yang masih belum pulih sepenuhnya, barisan pertahanan Kedah dilihat sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi menyakinkan.
Aidil terpaksa menggunakan beberapa orang pemain muda yang dilihat kurang berpengalaman dan cenderung melakukan kesilapan mudah pada beberapa perlawanan penting sebelum ini.
Pada aksi menentang PSM, beberapa kesilapan yang dilakukan telah membuka peluang kepada pasukan lawan untuk terus menambah jaringan dan menguasai perlawanan.
Kebangkitan pasukan Kedah hanya berjaya dilihat selepas seorang penjaring gol PSM, Yuran Fernandes dikenakan kad merah pada minit ke-62.
Sekiranya perkara ini terus berlarutan, ia akan menyebabkan kejatuhan kepada kelab yang cukup digeruni di Liga Malaysia (Liga M) pada suatu ketika dahulu.
Dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, pasukan Kedah hanya berjaya menang sekali ke atas pasukan Sarawak United dan tewas tiga kali di tangan Terengganu FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sri Pahang FC.
Barisan pengurusan dan kejurulatihan perlu segera mencari solusi kepada masalah ini untuk menjulang kembali pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi.
Selepas 13 perlawanan liga, mereka kini berada di tangga kelapan Liga Super selepas tewas enam perlawanan dan mencatatkan 24 bolos.
Kedah akan melayan kunjungan pasukan Sabah FC pada 17 Ogos ini pada aksi Liga Super yang dijadual di Stadium Darul Aman dalam misi untuk menebus kekecewaan pada perlawanan pertama yang menyaksikan mereka dibelasah 4-0.