Zamsaham kotakan janji, pastikan tidak ada ‘drama’ dari pemain di atas padang

1,117

Pemilik pasukan TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham terus mempamerkan teladan yang baik dan mampu dijadikan sebagai contoh kepada pemilik kelab lain di Liga Malaysia (Liga M).

Terdahulu, ada segelintir penyokong mengkritik tindakan penyerang, Nurshamil Ghani dan import, Felipe Hereda yang dilihat terbaring pada penghujung aksi Liga Perdana di antara Kelantan dan PDRM FC.


Pada aksi tempoh hari, pasukan Kelantan berjaya melakukan comeback minit akhir walaupun ketinggalan pada babak pertama perlawanan selepas penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin menampan masuk bola ke gawang sendiri.

Namun, Zamsaham terus tampil memberi penjelasan mengenai situasi tersebut menerusi posting di akaun Facebook miliknya.

Sebelum perlawanan menentang PDRM, kedua-dua pemain tersebut tidak berada dalam keadaan yang baik selepas mengalami kecederaan pada perlawanan sebelumnya bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II.

Zamsaham sebelum ini menegaskan pendirian beliau dalam memastikan tiada pemain pasukannya yang cuba untuk melengahkan masa atau berdrama di atas padang.

Perkara ini turut dibuktikan apabila beliau sendiri yang memeriksa penyebab Shamil dan Felipe terbaring pada minit akhir perlawanan serta meminta laporan lengkap daripada barisan kejurulatihan untuk menjelaskan perkara tersebut.

Tindakan seperti ini mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada pemilik-pemilik pasukan yang lain di Malaysia untuk memastikan kesemua pemain mereka mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi.

Meskipun ‘membuang’ masa merupakan perkara biasa di dalam bola sepak, namun pemain seharusnya bertindak profesional dan tidak mempamerkan ‘drama’ keterlaluan yang akan menimbulkan kontroversi susulan.

Tambahan pula, tindakan seperti ini hanya akan menjejaskan rentak permainan dan merosakkan kualiti yang ingin dipamerkan oleh mana-mana pasukan.

Contoh pengurusan berkualiti seperti ini yang akan terus menjulang kualiti pasukan-pasukan di Liga M ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Kemenangan ke atas PDRM mengukuhkan lagi kedudukan pasukan Kelantan untuk menjadi juara saingan Liga Perdana musim ini.

Mereka kini berada di persada liga selepas mencapai 11 kemenangan dan meninggalkan pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II dengan perbezaan lima mata.

Pengambilalihan pasukan ini oleh Zamsaham ternyata memberi impak yang cukup besar dan semakin menunjukkan peningkatan yang positif.

Pasukan ini berada di landasan yang cukup baik untuk bersaing di kancah utama Liga M dan kembali menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni di tanah air.

Kelab ini telah menghadapi zaman kejatuhan yang amat dahsyat disebabkan masalah kewangan pasukan sehingga hampir tersingkir ke kancah Liga FAM.

Semoga dengan kehadiran beliau akan dapat terus memberi sinar harapan kepada para penyokong pasukan Kelantan untuk melihat pasukan kesayangan mereka terus mencapai kejayaan demi kejayaan.