Mampukah Valeree sehebat Liu Ying?

207

Pada usia 19 tahun, Valeree Siow bakal mencuri tumpuan apabila beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka India pada 11 hingga 16 Januari 2022.

Rata-rata peminat sukan badminton negara mahu melihat kemampuan pemain muda ini bergandingan bersama pemain berpengalaman, Chan Peng Soon.


Persoalan yang bermain di fikiran ketika ini adakah dia mampu bermain sehebat Goh Liu Ying iaitu bekas pasangan Peng Soon selama 13 tahun dalam acara beregu campuran?

Jika tidak sekali pun, Valeree perlu membuktikan bahawa dia memang layak untuk menjadi pasangan baharu Peng Soon.

Ketika ini, semangat pemain berusia 33 tahun itu masih berkobar-kobar untuk melakar sejarah menjadi atlet Malaysia pertama yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik.

Bunyinya macam sukar tetapi tidak ada perkara yang mustahil dalam sukan. 

Apa yang penting adalah membuat perancangan yang rapi supaya sasaran dan impian itu menjadi kenyataan.

Kini, pemain kelahiran Pulau Pinang itu ada masa dua tahun untuk mempersiapkan diri sebelum menyertai temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Peng Soon mula mengorak langkah kanan apabila kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyertai skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Pengumuman yang dibuat pada 7 Disember 2021 itu boleh dianggap sebagai satu keputusan yang sukar.

Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berpisah dengan Liu Ying.

Liu Ying, 32, membuat keputusan untuk berpisah dengan Peng Soon selepas beraksi enam kejohanan sejak Oktober lalu.

Bagi Peng Soon, kejayaan yang dilakar bersama Liu Ying termasuk memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sudah menjadi sejarah.

Kini, dia perlu memandang ke hadapan. Misi memburu pingat emas Sukan Olimpik akan bermula sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke ABM pada 1 Januari 2022.

Kehebatan Peng Soon tidak perlu dipersoalkan lagi.

Tanda tanya yang paling besar ketika ini ialah mampukah Valeree membantu Peng Soon melakar kejayaan itu? 

Adakah pemain muda itu lebih hebat daripada Liu Ying?

Rasanya, peminat sukan badminton negara tidak sabar untuk mendapat jawapannya.

Namun, apa yang pastinya, Valeree bakal berdepan satu tugas berat.

Jika dia setanding atau lebih baik daripada Liu Ying, dia akan dihujani dengan pujian tetapi jika sebaliknya, bersedia untuk menghadapi kecaman.

Ini tugas utama BAM. Pasti Valeree betul-betul layak untuk bergandingan dengan Peng Soon.

Selain memperkemaskan latihan fizikal, BAM juga perlu memastikan pemain itu mempunyai kekuatan dari segi aspek mental.

BAM perlu memandang jauh ke hadapan. Tidak hanya berharap kepulangan Peng Soon sebagai mentor kepada barisan pemain muda negara.

Sebagai rekod, Peng Soon mengumumkan perpisahannya dengan Liu Ying ketika menyertai Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Ia merupakan kejohanan terakhir mereka selaku pasangan beregu campuran profesional negara yang ketika itu menduduki ranking kesembilan dunia.

Peng Soon-Liu Ying mula bergandingan pada tahun 2009. Sepanjang tempoh itu, mereka berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuk pingat perak Sukan Olimpik 2016.

Pencapaian terbaik mereka adalah menduduki ranking ketiga dunia pada tahun 2013.

Keputusan berpisah itu memaksa pasangan ini menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol pada 12 hingga 19 Disember 2021.