Atlet negara ‘tersungkur’ akibat MSN tamatkan kontrak
Tidak cukup dengan isu gaji pemain bola sepak dan hoki, kini tiba giliran atlet-atlet dibawah naugan Majlis Sukan Negara (MSN) pula berdepan situasi getir apabila sebahagian besar atlet yang berada dalam Program Podium sebelum ini telah ditamatkan kontrak.
Daripada 550 atlet termasuk 100 lebih atlet para, hanya 288 atlet sahaja dikekalkan bagi program tersebut menjelang tiga temasya utama tahun depan iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia serta Sukan Para Asia.
Penamatan kontrak atlet MSN ini telah menyebabkan ramai yang ‘terduduk’ dan salah seorang atlet yang terkesan iaitu jaguh boling padang negara, Fairul Iqwal Abdul Muin menyifatkan tindakan MSN kejam kerana tidak memaklumkan perkara itu lebih awal untuk mereka membuat persediaan.
Berikutan itu, Fairul kini terpaksa membuka gerai kecil di tepi jalan bagi menampung keluarganya sementara menunggu untuk kembali bekerja di sebuah bank selepas majikannya mengambil pengganti sementara selepas MSN mengambilnya sebagai atlet sepenuh masa sebelum ini.
Keputusan MSN ini turut tidak dipersetujui oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kerana pihak MSN perlu memberi peluang kepada semua atlet yang ada untuk kembali semula dan bertanding selepas pandemik sebelum membuat keputusan untuk kekalkan atau tamatkan kontrak seseorang atlet.
MSN dalam kenyataannya berkata pihaknya bersama persatuan sukan kebangsaan telah menetapkan kriteria pemilihan yang lebih khusus iaitu kumpulan atlet untuk temasya Sukan Olimpik 2020 adalah mereka yang telah layak secara merit.
Sementara itu, kumpulan atlet untuk Sukan Asia 2022 dan Sukan Komanwel 2022 adalah meliputi pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, pemenang pingat di Sukan Asia 2018 dan Sukan Komanwel 2018 serta pemenang pingat di Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia bagi tahun 2018-2019.
Manakala atlet untuk Sukan SEA 2021 pula terdiri daripada pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA 2019, atlet berusia 21 tahun yang meraih pingat emas di SUKMA 2018 serta pemenang pingat di Kejohanan Remaja Dunia, Kejohanan Remaja Asia atau Sukan Komanwel bagi tempoh 2018-2019.
Selain Fairul, penembak negara Muhammad Ezuan Nasir Khan dan Persekutuan Bolabaling Malaysia (MAHF) serta mereka yang terkesan turut meluahkan kekecewaan mereka terhadap keputusan terbaru MSN itu.
Dijangka lebih ramai atlet akan tampil bersuara mengenai isu ini, jadi pihak bertanggungjawab seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) perlu tampil membantu atlet-atlet ini supaya nasib mereka terbela dan tidak dibiarkan melarat.