Keputusan Jordi Amat pilih berhijrah ke JDT adalah tepat – Adrian Prol Vazquez

8,424

Wakil LaLiga di Malaysia, Adrian Prol Vazquez tiada masalah dan bersetuju dengan keputusan yang dilakukan oleh bekas pemain Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis, Jordi Amat berhijrah ke gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut Vazquez, selain mempunyai fasiliti berkelas dunia, JDT juga mempunyai projek pembangunan bola sepak yang cukup baik.


“Saya bersetuju dengan keputusan beliau (Jordi Amat) berhijrah ke JDT. Saya berpeluang melawat fasiliti JDT kira-kira empat tahun lalu dan saya sangat kagum dengan fasiliti kelab tersebut yang moden dan canggih dari sesetengah kelab di Eropah.

Mereka juga mempunyai projek pembangunan bola sepak dari akar umbi yang cukup baik, jadi saya rasa JDT adalah tempat yang terbaik untuk pemain dan juga bermain bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu perpindahan bakal pemain naturalisasi dari Indonesia itu mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada peminat bola sepak negara jiran yang tidak berpuas hati apabila Jordi ambil keputusan untuk bermain bersama JDT.

Peminat Sang Garuda juga mendesak Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) supaya batalkan proses naturalisasi pemain itu jika beliau tidak kekal di Eropah.

Bagaimanapun PSSI tidak melayan desakan peminat apabila ketua jurulatih kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong tetap mahukan pemain itu dalam skuadnya.

Dalam pada itu, Vazquez turut memuji tindakan pemain kacukan Sepanyol-Malaysia, Natxo Insa yang menukar kerakyatan sebagai satu tindakan yang bijak untuk mendapat peluang beraksi dalam skuad Harimau Malaya.

“Keputusan yang dibuat oleh pemain pastinya adalah untuk kebaikan diri mereka sendiri. Jika beliau bermain di Asia sudah pasti sukar untuknya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Sepanyol, tapi di sini beliau mempunyai peluang untuk main bersama skuad kebangsaan Malaysia, jadi saya setuju dengan keputusan beliau.”

Sementara itu, Vazquez yang ditemui pada majlis memperkenalkan musim baru LaLiga 2022/2023 berkata pihak mereka akan mengadakan pelbagai program untuk peminat LaLiga di Malaysia sepanjang musim ini.

Antara program yang dirancang adalah mengadakan ‘watch parties’ membabitkan perlawanan-perlawanan tumpuan.

Sebelum ini mereka juga pernah mengadakan beberapa projek tempatan di bawah LaLiga seperti LaLiga Youth Tournament, LaLiga Copa Footgolf dan banyak lagi.

Untuk musim baru ini, projek tempatan LaLiga akan diteruskan dengan pelbagai lagi program-program yang diatur dalam usaha mengembangkan lagi jenama LaLiga di Malaysia.

Pada musim baru 2022/2023 peminat LaLiga di Malaysia dapat menyaksikan perlawanan secara langsung di saluran Astro dan juga Unifi TV.