Wakil LaLiga setuju dengan tindakan MFL tambah kuota pemain import

623

Penstrukturan Liga Malaysia musim depan yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini termasuk penambahan kuota pemain import mendapat reaksi positif daripada wakil LaLiga, Adrian Prol Vazquez.

Vazquez tidak melihat penambahan kuota pemain import akan menjejaskan pemain tempatan sebaliknya ia akan memberi saingan sengit yang mana pemain tempatan akan pamer aksi yang berkualiti untuk dapatkan tempat dalam pasukan.


“Saya tidak melihat ia akan menjadi masalah kepada pemain tempatan kerana apabila pemain luar dibawa masuk, mereka perlu pamer aksi yang berkualiti jadi ia akan mewujudkan persaingan sihat untuk merebut tempat dalam pasukan.

Jadi saya tidak melihat ia sebagai satu masalah langsung,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, penambahan kuota sembilan pemain import (enam pemain untuk skuad utama dan tiga pemain untuk skuad simpanan) menjadi topik hangat dikalangan peminat dan orang industri bola sepak sendiri yang memberi pelbagai reaksi.

Dalam pada itu, Vazquez berkata beliau tidak melihat kalendar Liga Malaysia yang berbeza dari liga di Eropah sebagai satu masalah kerana beliau percaya pihak MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mempunyai sebab tersendiri.

Sementara itu, LaLiga kini sedang dalam usaha untuk melebarkan lagi sayap mereka di Malaysia dengan menganjurkan pelbagai program untuk mengukuhkan lagi jenama LaLiga di kalangan peminat bola sepak di Malaysia.

Pelbagai projek tempatan yang sudah dilakukan dan banyak lagi program yang akan berlangsung sepanjang musim ini.

Selain mahu mengukuhkan jenama LaLiga, mereka juga aktif dalam program pembangunan bola sepak apabila menganjurkan LaLiga Youth Tournament baru-baru ini.

Pada masa sama, Vazquez juga teruja apabila kelab Villarreal CF bakal membuka akademi bola sepaknya di Malaysia dan pihaknya akan cuba menghubungkan kelab di LaLiga dengan kelab di Liga Malaysia.

“Saya sangat gembira apabila kelab Villarreal akan buka akademi di sini kerana ia bagus untuk bola sepak Sepanyol dan juga LaLiga. Buat masa ini belum ada kolaborasi antara kelab di LaLiga dan Malaysia.

Tapi saya akan cuba usahakan untuk bawa kelab di LaLiga ke Malaysia untuk peminat dan juga kelab di sini.”

Pelbagai aktiviti lain turut diatur oleh LaLiga untuk peminat liga dari Sepanyol itu di Malaysia yang mana mereka turut akan menganjurkan pertandingan LaLiga Copa Footgolf, ‘watch parties’ perlawanan-perlawanan tumpuan dan bermacam-macam lagi.

Pada musim ini juga LaLiga telah menjalin kerjasama dengan Astro dan juga Unifi TV yang akan menyiarkan siaran langsung kesemua perlawanan LaLiga dan juga LaLiga 2.