Bakat sahaja tidak mencukupi, peluang untuk jadi atlet tidak dimiliki semua orang
Ramai kanak-kanak yang mempunyai impian untuk menjadi atlet profesional sejak daripada kecil lagi tetapi tidak mampu mencapai cita-cita tersebut.
Masalah wang, tempat yang jauh dan tidak mendapat sokongan daripada keluarga menjadi ‘pembunuh’ kanak-kanak mengejar cita-cita mereka.
Sebahagian daripada mereka memang mempunyai bakat yang tinggi tetapi tidak mempunyai platform atau peluang untuk mempamerkannya.
Ini adalah satu perkara yang sedih apabila mereka tidak berpeluang untuk mempamerkan bakat mereka disebabkan kekurangan yang ada.
Disebabkan itulah wujudnya pasukan-pasukan pencari bakat seperti dalam sukan bola sepak yang menjelajah ke seluruh pelusuk kawasan untuk mencungkil bakat-bakat baru yang mempunyai potensi.
Harimau Malaya sendiri baru-baru ini dihubungi oleh seorang kanak-kanak yang bertanyakan mengenai cara untuk memasuki ke Akademi Mokhtar Dahari.
Dia turut bertanya sama ada boleh memasuki akademi seperti itu kerana tidak memiliki wang.
Mungkin ini adalah satu ‘wake up call’ buat kelab-kelab di negara ini untuk mempertingkatkan lagi kemahiran dalam mencari bakat.
Ini baik untuk perkembangan sukan tempatan kerana dapat memastikan bakat-bakat yang terpencil tidak kekal ‘tersembunyi’.
Selain itu, menaikkan bakat muda adalah lebih murah berbanding membelanjakan wang untuk bintang sedia ada.