HKC kecewa Kedah Darul Aman FC tak letak KPI buat pengurusan kelab

744

Presiden kelab penyokong HijauKuning.com, Saiful Azrul Che Lah meluahkan rasa kecewanya dengan pihak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila gagal meletakkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) buat pengurusan tertinggi kelab.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri satu sesi dialog diantara KDA FC dan kelab penyokong Kedah yang berlangsung baru-baru ini.


“Kita nak tahu dari segi urus tadbir KDA FC kerana kita sudah masuk ke zaman penswastaan kelab dan perihal mengenai urus tadbir kelab sangat penting. Kita nak tahu KPI yang telah diletakkan KDA FC kepada pengurusan tertinggi kelab.

Tapi kita agak kecewa sebab persoalan itu gagal dijawab oleh pengurusan tertinggi KDA FC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Saiful bagaimanapun berkata mereka tidak berniat mahu mengkritik pihak pengurusan, tetapi berharap agar KDA FC akan melakukan perubahan kerana beliau melihat secara keseluruhan dari segi pentadbiran masih banyak ruang boleh ditambah baik.

“Bagi kita jika urus tadbir tidak dilakukan dengan baik, kita tukar lain coach atau pemain banyak mana pun atau paling bagus pun susah pasti sukar untuk kekalkan prestasi. Tapi jika ia diuruskan dengan baik dari atas sampai bawah, dan jika bahagian atas diurus dengan baik pasti bahagian bawah juga akan menjadi lebih baik.”

Beliau juga mahu pihak pengurusan bersikap terbuka dan telus dengan peminat dan tidak menyembunyikan apa sahaja perkembangan mengenai pasukan.

Dalam pada itu, beliau juga berkata desakan segelintir peminat yang mahu ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dipecat adalah tidak munasabah kerana pengendali dari Singapura itu sudah mencapai KPI yang telah ditetapkan kepadanya.

“KPI untuk coach ada dan beliau telah bentangkan KPI dan kita nampak beliau mencapai KPI yang telah ditetapkan oleh KDA FC. Jadi kalau orang nak desak coach out, memang kita tak boleh kata apa sebab beliau sudah capai KPI.”

KDA FC telah meletak KPI dalam kontrak Aidil: berada pada kedudukan Top 5 untuk perlawanan pertama; memastikan pasukan sekurang-kurangnya melepasi kalah mati untuk Piala FA dan Piala Malaysia; berada pada kedudukan kedua dalam kumpulan Piala AFC.

Sementara itu, Saiful turut mempertikaikan keputusan pengurusan yang melakukan 80% rombakan pasukan pada musim ini apabila melepaskan ramai tonggak utama dek kekangan bajet walaupun tahu pada musim ini mereka akan bersaing di Piala AFC.

“Kita ada tanya pengurusan mengenai perkara ini tetapi biasalah mereka jawab mereka kekurangan bajet, tapi kalau kita tengok betul-betul kita boleh pertikaikan perkara itu kerana jika kita melihat pengambilan pemain import juga memakan kos yang tinggi, jadi kita tak nampak masalah bajet tu.

Memanglah boleh buat penjimatan, tapi kita perlu buat perkiraan dengan betul kerana jika tidak kita akan rugi seperti apa yang berlaku ketika ini.”

Bagi mengatasi masalah kewangan ini, beliau menuntut pihak KDA FC mempunyai satu model perniagaan yang mampan untuk menjana pendapat sendiri tanpa terlalu mengharapkan dana dari penaja atau pun kerajaan negeri.

Disebalik kemelut dan prestasi hambar pasukan Sang Kenari musim ini, Saiful berharap peminat Hijau Kuning tidak berputus asa dan teruskan menyokong pasukan tidak kira ketika menang atau kalah.