Budi pekerti penyokong JDT di Larkin sentuh perasaan Ryotaro Shishido, sama-sama laungkan semangat untuk JDT di Saitama

5,832

Penyokong Kawasaki Frontale, Ryotaro Shishido dari Jepun telah menyatakan keinginan beliau untuk turut menyokong wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di saingan kalah mati AFC Champions League (ACL) 2022 menentang Urawa Red Diamonds.

Beliau yang menetap di bandar Tokyo akan sama-sama berada di Stadium Saitama pada 19 Ogos ini bagi memberi semangat kepada para pemain Harimau Selatan.


Ryotaro yang pernah menetap di Malaysia selama beberapa tahun cukup meminati budaya dan suasana masyarakat di Malaysia terutamanya semangat penyokong bola sepak di sini.

Sebelum ini, beliau telah bertandang ke Johor bagi menyokong pasukan kegemarannya, Kawasaki Frontale dalam saingan Kumpulan I menentang JDT, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC.

“Saya ingin membalas kembali budi baik para penyokong JDT ketika saya berada di sana dengan menyokong pasukan tersebut ketika mereka bertemu Urawa Reds di Saitama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kawasaki Frontale gagal mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tangga kedua kumpulan di belakang JDT dengan 11 mata dari enam perlawanan.

Walaupun kecewa dengan perkara tersebut, Ryotaro akan terus meletakkan harapan dan sokongan yang tinggi kepada pasukan JDT untuk meneruskan saingan.

Beliau melihat juara bertahan Liga Super tersebut tidak akan mempunyai masalah yang besar dalam menghadapi perlawanan kalah mati tersebut.

“Tiada masalah untuk JDT kerana cuaca di Malaysia juga sangat panas, tetapi panas di Jepun sedikit berbeza kerana lebih kering.

Namun pasukan JDT tetap pasukan yang sangat kuat, barisan pertahanan mereka memiliki kualiti yang baik.”

JDT akan berhadapan dengan laluan getir selepas dijadual beraksi di hadapan penyokong Urawa Reds di Stadium Saitama yang juga merupakan gelanggang keramat pasukan tersebut.

Stadium yang berkapasiti 63,700 ini sudah semestinya akan dibanjiri oleh penyokong pasukan tersebut yang turut berharap kelab kesayangan mereka dapat mencapai kemenangan.

Namun, ia tidak akan menjadi masalah kepada pasukan JDT yang kini berada di tahap terbaik selepas mencatatkan aksi memberangsangkan di beberapa perlawanan terakhir liga.

Pada masa yang sama, kehadiran penyokong setia yang sanggup berkorban wang dan tenaga demi kelab tercinta semestinya menjadi pembakar semangat kepada semua pemain JDT.

Kehebatan dan kejayaa JDT pada beberapa tahun kebelakangan ini semakin mendapat perhatian meluas dari peminat bola sepak seluruh Asia.