PIB FC miliki ‘tuah’ beraksi di tempat lawan, tagih kemenangan pada perlawanan pertama di Manjung

269

Ketua jurulatih PIB FC, K. Ramachandran berharap agar anak buahnya dapat memberikan persembahan yang cukup baik pada perlawanan pertama peringkat suku akhir Liga M3 kelak.

Mereka akan memulakan saingan kalah mati ini menerusi perlawanan menentang pasukan Manjung City FC yang dijadual pada Sabtu ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.


Meskipun meletakkan harapan yang tinggi, K. Ramachandran tetap merasakan perlawanan ini akan menjanjikan aksi yang sengit dilihat kepada keupayaan dan kebolehan yang dimiliki oleh pemain kedua-dua pasukan.

“Untuk suku akhir, perlawanan ini akan menjadi saingan yang cukup seimbang kepada kedua-dua pasukan.

Kami akan cuba bermain bersungguh-sungguh, kami mahukan kemenangan di tempat lawan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, K. Ramachandran perlu mencari resepi terbaik bagi memastikan pasukan kendaliannya berjaya menampilkan aksi penyudah yang lebih baik pada peringkat suku akhir.

Selepas 18 perlawanan peringkat kumpulan, PIB FC berjaya mencatatkan 31 gol dan 21 bolos.

Rekod yang kurang baik berbanding lawan mereka yang tampak lebih cemerlang dalam saingan Kumpulan A.

“Saya sudah membuat kiraan semua dengan kelebihan yang Manjung City miliki kerana berdasarkan jaringan, mereka berjaya mencatat jaringan yang banyak dan kurang bolos.

Tetapi kami akan cuba berikan yang terbaik pada perlawanan selepas ini dengan kemampuan yang kita miliki.”

Kehadiran beberapa orang pemain berpengalaman di barisan pertahanan akan menjadi salah satu senjata utama pasukan ini bagi mengelakkan dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar.

Ketua pasukan, Ali Imran Alimi melihat kehadiran pemain-pemain dari Liga Super sebagai kelebihan yang besar dalam memastikan kecemerlangan pasukan dapat dicapai dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

“Kita mempunyai beberapa orang pemain senior, kami akan gunakan pengalaman untuk membimbing pemain muda.

Saya rasa tiada masalah kerana keharmonian kami di dalam dan luar padang berada dalam keadaan baik dan mampu membantu pada perlawanaan akan datang.”

Senada dengan ketua jurulatih, Imran turut melihat peluang beraksi di Manjung pada perlawanan pertama suku akhir ini sebagai peluang untuk pasukan ini untuk terus menghidupkan peluang mara ke peringkat yang lebih tinggi.

Meskipun tidak melalui musim yang cemerlang, pemain berusia 24 tahun tersebut tetap percaya dengan kemampuan beliau dan rakan sepasukan dalam mencari kemenangan untuk layak ke perlawanan akhir.

“Sejujurnya lima perlawanan terakhir di liga agak tidak konsisten, kami tidak memenangi tiga perlawanan di tempat sendiri.

Kita kena mengambil kesempatan beraksi di Manjung terlebih dahulu memandangkan kita memiliki kelebihan ketika beraksi di tempat lawan.”

Imran merupakan antara pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Kali terakhir beliau beraksi di liga utama adalah bersama pasukan Sarawak United FC pada musim 2020.

Beliau juga pernah mewakili skuad B-16 negara dalam beberapa kejohanan seperti Piala AFF B-16 2013 dan 2014.

Pengalaman Imran di bahagian pertahanan diharap akan dapat membantu menyekat kemaraan barisan serangan Manjung City pada perlawanan Sabtu ini.