Ada kalanya kita perlu berdiam diri walaupun kita betul – Presiden HKC
Bola sepak adalah sukan yang penuh dengan emosi membabitkan bukan sahaja peminat, pemain dan jurulatih, tetapi juga pengurusan tinggi sesebuah pasukan.
Dalam Liga Malaysia ini terdapat dua figura yang sangat lantang dalam memberi kenyataan berkaitan bola sepak iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Tidak dapat dinafikan ada kalanya industri bola sepak perlu figura seperti ini menyuarakan pendapat demi kebaikan bola sepak tempatan, tetapi jika berlebihan ia akan mencetuskan sesuatu yang kurang enak.
Itulah yang sedang berlaku kepada Presiden KFA yang kini bukan sahaja dikritik peminat pasukan lain tetapi juga pasukan sendiri berikutan kenyataannya yang disifatkan sebagai ‘keterlaluan’ sedangkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sendiri kini berada dalam keadaan terumbang-ambing.
“Pada sesi dialog hari itu ada beberapa kelab penyokong yang membangkitkan isu ini, cuma apa yang kita nampak kita kena tengok lawan kita. Ada kalanya kita perlu berdiam diri walaupun kita betul.
Sebab kalau kita salah pilih lawan kita yang akan rugi,”
ujar Presiden HijauKuning.com, Saiful Azrul Che Lah kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Saiful yang turut hadir pada sesi dialog bersama KDA FC dengan kelab penyokong Kedah turut meluahkan rasa kecewanya dengan pihak pengurusan Sang Kenari yang lebih cenderung untuk mengadakan sesi dialog secara tertutup dari membuat secara siaran langsung di media sosial.
Jelas Saiful, tindakan pengurusan KDA FC ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peminat Hijau Kuning lain yang tidak tahu langsung dengan apa yang berlaku dalam pasukan kesayangan mereka.
“Pihak pengurusan setuju untuk mengadakan sesi dialog selang tiga bulan sekali iaitu pada bulan November depan dan pihak kami akan terus desak KDA FC untuk adakan sesi dialog secara live kerana kami perasan mereka lebih cenderung untuk buat secara tertutup.
Sekarang ini zaman sudah berubah, jadi apa sahaja termasuk masalah kecil pasti orang akan nampak. Lagi bahaya jika isu itu disembunyikan dan didengari dari mulut orang lain. Kami sebagai suara yang mewakili peminat Kedah di luar sana kami mahu semua tahu mengenai perkembangan pasukan.
Memang sudah nampak keterbukaan pengurusan apabila mengadakan sesi dialog, tetapi ianya hanya dihadiri oleh kelab penyokong dan setiap daripada mereka mempunyai pemahaman yang berbeza, jadi lebih baik buat secara live supaya semua orang dapat tengok dan faham apa visi pengurusan.”
Oleh itu, beliau berharap selepas ini pihak KDA FC akan lebih berani dan terbuka dengan peminat kerana peminat tidak akan mengkritik tanpa asas kerana fungsi mereka adalah untuk bantu untuk perbaiki kelemahan yang mungkin pengurusan terlepas pandang.
Tambahnya lagi, peminat yang sentiasa turun stadium untuk menyokong pasukan kesayangan tidak akan sengaja mengkritik untuk menghancurkan pasukan mereka sebaliknya mahu lihat pasukan berjaya.
“Kita (peminat) nak cari ruang untuk penambahbaikan sebab kalau kita tengok, anak-anak Kedah ini mempunyai banyak kepakaran seperti dalam pengurusan, psikologi, perubatan dan macam-macam lagi yang mereka boleh bantu kalau diberi peluang.
Jadi kita nak kelab nampak benda ini dan gunakan kelebihan ini kerana pasti ramai yang akan bantu.”
Malam ini, KDA FC akan melayan kunjungan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super yang merupakan perlawanan penting untuk menaikkan semula semangat pemain untuk meraih kemenangan selain menebus kekecewaan tumpas 4-0 di Likas, Sabah bulan April lalu.