Bola sepak Malaysia kejam, kroni dan pilih kasih rosakkan karier pemain – Qayyum Marjoni

25,080

Bekas pemain Liga Super, Qayyum Marjoni memasang impian yang tinggi untuk kembali beraksi di liga utama negara dalam masa terdekat.

Pemain berusia 28 tahun tersebut pernah beraksi bersama beberapa kelab utama di dalam Liga Malaysia seperti PKNS FC dan Kuala Lumpur City FC.


Beliau yang kini beraksi bersama pasukan Liga M3, PIB FC miliki peluang yang cerah selepas layak ke pusingan suku akhir dan dijadual bertemu Manjung City FC.

Peluang ini juga dilihat sebagai peluang terbaik untuk beliau menebus kembali kehampaan selepas berhadapan dengan isu dan masalah yang menjejaskan kariernya.

“Saya berasa sangat teruja kerana pelbagai suka duka telah saya lalui sebelum ini sebagai seorang pemain dari Liga Super ke Liga Perdana dan sekarang di Liga M3, kena tipu dan sebagainya.

Bola sepak Malaysia kadang-kadang kejam dan perkara ini perlu diubah kerana kita tidak boleh guna kuasa atau politik untuk menentukan bakat seseorang pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada pendapat Qayyum, pihak atasan pasukan perlu memilih berdasarkan kemampuan dan keupayaan seseorang pemain dan tidak terikat dengan mana-mana faktor yang mampu mempengaruhi keputusan.

Hal ini akan membolehkan terlahirnya lebih ramai pemain berkualiti yang mampu memberi saingan di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Jika seseorang pemain mempunyai kebolehan, beliau perlu diberi peluang tanpa sebarang pilih kasih dan sebagainya.”

Dalam pada itu, pengalaman yang dimiliki oleh Qayyum menjadikan beliau antara pemain utama yang sering digunakan oleh ketua jurulatih, K Ramachandran bagi mengharungi saingan liga tahun ini.

Pemain berasal dari Kelantan ini perlu membantu dalam memberi motivasi dan pembakar semangat kepada kesemua pemain-pemain muda yang dimiliki oleh pasukan PIB FC bagi terus menghidupkan peluang beraksi di Liga Super.

Kesempatan beraksi bersama PIB FC ini sedikit sebanyak telah menyelamatkan karier Qayyum dari terus terkubur.

“Peluang beraksi di Liga M3 ini jadi medan persiapan terbaik untuk saya terus memasang azam kembali ke Liga Super.

Saya memang memasang impian untuk tidak kekal di liga ini selamanya, saya ingin kembali ke Liga Super pada musim depan kerana saya percaya saya boleh.”

Rombakan liga yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) sebelum ini kembali memberi sinar harapan kepada Qayyum untuk membuktikan kemampuannya di pentas yang lebih tinggi.